Baru-baru ini laman sosial yang tidak kering sentiasa kecoh, makin bertambah kecoh apabila gambar slip gaji bulanan seorang pekerja asing yang menerima lebih RM5,000 sebulan tersebar menjadi viral dan mengejutkan ramai.
Hal itu membuatkan ramai netizen mengadu nasib kononnya majikan di Malaysia lebih mementingkan pekerja asing, sebaliknya meng"anak tiri"kan para pekerja tempatan.
Namun, jika difikir-fikirkan setiap perkara yang berlaku sudah tentu ada sebab mengapa jadi begitu, bukan?
Kadang kala, kualiti kerja dan sikap yang ditonjolkan oleh pekerja asing sememangnya lebih "tip-top" hingga melayakkan mereka dipandang tinggi oleh majikan berbanding "orang kita" sendiri.
Hendak tahu lebih tepat, anda baca kenyataan yang dimuat naik seorang usahawan Hafiz Mansor menerusi laman Facebook yang mengulas mengapa pekerja asing ini memang layak dapat RM 5,000 sebulan.
“Kau jeles ke tengok gaji Nepal RM 5K sebulan? Kau nak buat OT (overtime) 2 jam pun mengeluh. Kena balik lambat pun mengeluh. Kena tegur majikan pun mencarut. Tak pegang hp (handphone) setiap sejam rasa nak meninggal,” tulisnya di laman Facebook, merujuk pada slip gaji berkenaan.
Pedih ulu hati? Memang padu habis teguran Hafiz ini, seolah-olah bagaikan mengena batang hidup sendiri.
Menurut Hafiz, pengorbanan yang dilakukan oleh pekerja asing demi mencari sesuap nasi tidak mungkin boleh dilakukan oleh rakyat tempatan dalam usaha memajukan diri.
“Kau sanggup ke ikat perut setiap hari tak makan sedap-sedap? Kau sanggup ke tinggal anak bini jauh-jauh? Kau sanggup ke tinggal himpit-himpit 15 orang dalam satu rumah? Kau sanggup ke tidur 3 jam sehari? Kau sanggup ke kerja panas berpeluh-peluh? Kau sanggup ke berhijrah untuk lebih maju?” ujarnya lagi.
Tidak dinafikan, niat kebanyakan pekerja asing yang datang ke negara kita adalah untuk menyara kehidupan keluarga di kampung halaman mereka.
Malah itulah juga yang dilakukan oleh warganegara Malaysia yang merantau ke negara asing dengan gaji lumayan, untuk membantu kehidupan keluarga mereka di sini yang kurang berkemampuan.
Apatah lagi dengan lambakan graduan yang masih menganggur gara-gara terlalu memilih kerja, bermimpikan gaji yang besar-besar belaka dan ada juga yang tidak sanggup berjauhan dengan ibu bapa masing-masing.
“Kalau kau tak sanggup SUSAH SEMENTARA, jangan salahkan bangla, nepal, indon yang lebih kaya dari kau. Dia usaha dan dia layak dapat dengan apa yang dia korbankan. Kau berani?” cabar Hafiz lagi.
Bagaimana? Ada di kalangan mereka yang suka merungut "rezeki tak cukup" yang sanggup sahut cabaran Hafiz itu? Ingatlah, rezeki itu di tangan Allah SWT dan Dia mahu kita berusaha serta berdoa padaNya, kan? - Kedahnews.com