Garis Panduan Baru: LPF Hapus Aksi Khurafat, Seksi, Ghairah, Ganas

Sebelum ini, ramai pengarah dan penerbit  industri perfileman negara serta drama-drama tempatan yang seolah menjadikan babak ghairah, mesra terlampau dan aksi ganas sebagai ramuan untuk menarik minat para penonton.

Meskipun meletakkan tanda 18SG, 18SX dan sebagainya, kaedah berkenaan seolah tidak berkesan untuk mencegah mereka yang di bawah umur untuk menonton slot yang mampu mencemar minda mereka.

Terbaru, Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah menggariskan peraturan rasmi dan setiap stesen televisyen yang beroperasi di Malaysia wajib mematuhinya.





Menerusi pekeliling itu, adegan-adegan ghairah antara berlawanan jantina mahupun sejenis akan dipotong, manakala perlakuan mencium pipi, dahi, tangan dan babak berpelukan pula hanya dibenarkan kepada babak-babak membabitkan pelakon bukan Islam sahaja.

Selain dari adegan sensual dan ghairah, LPF turut akan memotong babak-babak yang menampilkan elemen tahyul dan khurafat seperti manusia berinteraksi dengan roh mahupun jin secara jelmaan fizikal.

Adegan pembacaan mantera yang bercampur dengan ayat Al-Quran dan adegan ajaran sesat yang tidak diakhiri dengan babak pembalasan atas sikapnya itu turut akan dipotong.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa peraturan tersebut hanya tertakluk kepada drama yang melibatkan jalan cerita masyarakat Islam sahaja manakala agama lain bebas untuk menampilkan elemen tersebut.

Pihak LPF turut menyatakan garis panduannya terhadap elemen-elemen lain seperti babak membabitkan rokok, minuman keras, dadah, kerosakkan akhlak, pakaian, perlakuan tidak sopan, ganas, kejam dan berbaur politik. Jom kita lihat syarat-syarat wajib potong untuk adegan-adegan sedemikian. -Kedahnews.com