RANAU – Anggaran lebih RM100 juta diperlukan bagi kos keseluruhan
membaiki kerosakan bangunan dan infrastruktur di Sabah yang terjejas
akibat gempa bumi berukuran 5.9 skala richter dan banjir lumpur pada Jun
lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata kos itu bagi membaiki kira-kira 61 bangunan, jalan
raya, jambatan dan cerun yang rosak berikutan kejadian bencana alam yang
melanda negeri ini khususnya di Ranau, Kundasang dan Kota Belud.
Fadillah berkata kira-kira RM55 juta daripada anggaran kos itu
digunakan bagi membaiki, membina dan mengukuhkan semula lima bangunan
yang mengalami kerosakan kritikal iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Ranau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, Masjid Daerah Ranau,
Hospital Ranau dan Sekolah Agama Mohamad Ali.
Kos bagi kelima-lima bangunan itu masing-masing berjumlah RM15 juta
(IPD), RM12 juta (SMK Ranau), RM12 juta (Masjid Daerah Ranau), RM10 juta
(Hospital Ranau) dan RM6 juta bagi Sekolah Agama Mohamad Ali.
“Kerja-kerja pembaikan semula bangunan dan jalan raya mengalami
kerosakan minimum juga sedang dijalankan dan peruntukan sudah
disalurkan. Cuma, lima bangunan kritikal ini ada yang perlu dirobohkan
dan dibina semula.
“Ini akan mengambil masa sedikit disebabkan peruntukan serta
kerja-kerja berat yang terpaksa dilakukan,” katanya selepas meninjau
bangunan IPD Ranau di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata satu kajian sedang
dijalankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mengenal pasti
kawasan kritikal dan berisiko tinggi di landa gempa bumi khususnya di
Ranau serta daerah berhampiran.
Beliau berkata kajian itu antara lain bagi melihat sama ada wujud
keperluan mengeluarkan dasar atau garis panduan yang menetapkan setiap
bangunan dibina di kawasan terbabit perlu mematuhi standard yang
dikenali sebagai ‘Euro Codes’.
“Ini bermakna setiap bangunan mesti mampu menahan gegaran sehingga 8
skala Richter. Bagaimanapun, kos pembinaan akan lebih mahal iaitu
penambahan kira-kira 30 peratus,” katanya.
Menurut Fadillah, kajian yang dikendalikan pakar tempatan dan luar
negara itu akan mengemukakan cadangan berkaitan kepada kerajaan sebelum
ia ditetapkan sebagai dasar negara.
Terdahulu, Fadillah mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya
(JKR) Sabah di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, sebelum melawat IPD
Ranau dan kemudiannya meninjau keadaan semasa di jambatan Jalan Golf
Course Mesilou.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin. – BERNAMA