Geng "AV" Curi Lori Dan Bas Tumpas, 6 Diberkas #PDRM


BALIK PULAU – Geng ‘AV’ yang aktif mencuri lori dan bas di sekitar negeri ini dan Kedah dua tahun lalu tumpas apabila enam anggotanya diberkas di Alor Star, Kedah dan Bayan Lepas di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Him berkata geng itu diberkas ekoran loporan kehilangan sebuah bas di Bayan Baru pada hari yang sama.

“Pemeriksaan menggunakan sistem pengesanan gobal (GPS) mendapati kenderaan itu berada di Kubang Rotan, Alor Setar dan susulan itu, polis menyerbu bengkel menjual barang lusuh di situ dan menahan dua lelaki tempatan serta seorang warga Myanmar.

“Mereka yang ditahan adalah pemilik bengkel dan dua pekerjanya yang berusia 22 hingga 56 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata di situ polis menemui dua buah lori, pelbagai rangka dan komponen bas yang telah dilerai serta 31 enjin bas dan lori.

Lai berkata kesemua barang bernilai lebih RM1 juta itu dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes mencuri bas dan lori yang dilapor berlaku di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sebelum ini.

Beliau berkata ekoran serbuan ke atas bengkel itu, polis turut menyerbu sebuah rumah di Bayan Lepas dan menahan dua beradik yang bekerja sebagai mekanik sebelum menahan seorang lagi lelaki yang merupakan perancang utama sindiket berkenaan.

Kesemua mereka berusia antara 52 dan 66 tahun dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya turut positif dadah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Lai berkata polis sedang mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai Khoo Boon Seng, 43, bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan heroin dan syabu bernilai lebih RM1.5 juta di Bayan Lepas dan Butterworth pada 22 Julai lepas.

Lelaki tersebut dikehendaki polis sebelum ini dan dipercayai menjadi dalang utama kepada sindiket pengedaran dadah berkenaan, katanya. – BERNAMA