Datuk Seri Nazir Tun Razak |
BUTTERWORTH - Pengerusi Jawatankuasa Interim Gerakan Harapan Baru (GHB) Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhasrat menemui Datuk Seri Nazir Razak bagi membincangkan sama ada beliau berminat menyertai pergerakan itu.
Beliau bercadang berjumpa pengerusi Kumpulan CIMB itu selepas Hari Raya ini dan membayangkan penyertaan Nazir akan memberi faedah kepada perjuangan gerakan itu.
Katanya pihaknya ada berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini yang turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Siapa tahu apabila berjumpa Nazir, mungkin beliau berkata daripada menubuhkan NGO baharu, lebih baik bekerjasama ... ia pasti memberikan kami manfaat," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan barisan jawatankuasa GHB Pulau Pinang, di sini, Khamis.
Ditanya sama ada beliau akan melepaskan keanggotaan dalam PAS ekoran penglibatannya dalam GHB, Mujahid berkata beliau masih lagi anggota PAS kerana ia bukan satu kesalahan untuk menganggotai mana-mana NGO.
Tegasnya keanggotaan hanya akan gugur secara automatik apabila seseorang anggota PAS memiliki satu lagi keanggotaan dalam parti lain dan setakat ini GHB masih belum didaftar sebagai parti politik.
Menurutnya, permohonan pendaftaran bagi GHB telah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan dan menunggu kelulusan yang dijangka bulan depan atau selewat-lewatnya akhir tahun.
Mujahid turut menafikan tuduhan GHB sesat daripada ajaran Islam dengan pemikiran Muslim Progresif seperti Jaringan Islam Liberal di Indonesia dan American Islam.
"Semua tuduhan bahawa kita adalah progresif Amerika, dikaitkan dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ... semua itu tidak benar.
Perjuangan kita pada Islam adalah merangkumi semua bangsa dan agama," tegasnya.
Mujahid berkata ceramah pelancaran GHB akan diadakan pada 8 Ogos di Pulau Pinang dan akan diteruskan di Perlis, Kelantan dan juga di Sabah dan Sarawak supaya orang ramai mengetahui kewujudannya.
Isnin lepas, penubuhan GBH diumumkan dan ia dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. -mStar