Gerakan Mat Sabu Tak Mampu Gugat PAS Di Kedah


ALOR SETAR - PAS Negeri Kedah mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat terhadap pergerakan Harapan Baru di negeri itu, demikian menurut Pesuruhanjayanya, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

“Jadi kalau kita tak kenal, payah kita nak cakap. Bila kenal baru mudah bercakap. Jadi kalau kita buat kesimpulan ni, kena tengok gelung (pagar) tu dululah, bukan kita pakai pergi langgar yang belah orang. Kita kena tengok, kenal dulu.

“Kita pergi tengok sempadan kita di mana, barulah kita boleh pergi turun ke bendang begitu. Kalau kita pergi langkah gelung orang, masalah. Kita kena kenal dululah,” ujarnya menjawab pertanyaan media pada Majlis Aidil Fitri Bersama Media di sini pada Rabu lalu.

Katanya, pergerakan wadah baharu itu bukanlah ancaman sepertimana dibayangkan hingga menyangka PAS akan pupus.

“Sedangkan Umno sudah lama dah kerja nak bagi lingkupkan PAS tapi tak lingkup-lingkup pun, bahkan lagi kuat lagi. Jadi saya kira, gerakan baru ni bukan satu ancaman.

“Sama ada mereka akan pecah undi, yang itu kita tak dapat nak jangka lagi. Kita pun tidak tahu dia nak masuk pilihan raya ke tak masuk, atau dia nak tubuh parti politik betul-betul ke atau dia gempar sahaja. Politik ni macam-macam,” terangnya.

Tegasnya, PAS akan terus memperjuangkan prinsip Islam dan menawarkan Islam kepada rakyat untuk difahami serta boleh mengikut susun atur Allah yang telah ditetapkan dalam syariat selain meraikan lapisan masyarakat berbilang kaum.

“Dia macam tengok anak dara, kalau dia tengok dia berkenan dia kata relevan. Dia tengok tak berkenan dia kata tak relevan tambah pula anak dara tu tolak dia. Terus tak mahu, tak relevan langsung,” jawabnya terhadap dakwaan PAS sudah tidak relevan.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS Negeri Kedah tidak akan menghalang ahlinya untuk pergi dengar ceramah atau program Harapan Baru tetapi menasihati ahli supaya bijak dan matang untuk memikirkan mengenai gerakan tersebut.

“Bagi PAS kita terbuka, tidak ada halangan. Dia nak ceramah ke, pergi la. Cuma kita nasihatkan supaya kena cerdik. Macam bila orang nak mengail, kita anak ikan kena cerdik tengok umpan tu jangan kita pergi tokok (makan) semua, tokok lekat, habis! Tokok sikit-sikit saja, jangan bagi makan kail,” ujarnya.

Dr Ahmad Fakhruddin turut menyangkal bahawa tokoh-tokoh PAS seperti Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor menyokong perjuangan tersebut kerana terbukti mereka meninggal dunia dalam PAS.

Katanya lagi, dalam konteks politik di Kedah PAS hanya bertentangan dengan Umno sahaja dan saingan selain dari itu tidak akan memberi impak yang tinggi la.

Menyentuh soal hubungan dengan DAP katanya, beliau mengakui terdapat had dalam konteks berorganisasi, tetapi hubungan peribadi kekal erat dan ketiga-tiga parti pembangkang di Kedah bersama untuk menghadapi Umno-BN sebagai lawan yang satu.

“Itulah lawan dia, kita konsisten!” tegasnya ringkas.

Sumber: Harakahdaily