Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed |
KUALA LUMPUR – Keharmonian masyarakat berbilang kaum negara ini terhakis kerana perpaduannya sering diganggu gugat oleh suara-suara chauvinis, rasis di atas nama kebebasan bersuara.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, golongan muda Malaysia pula semakin dikhayalkan dengan budaya hedonism melampau dan kemaksiatan juga bermaharajalela.
Justeru, katanya, golongan ulama selaku pewaris para nabi perlu memainkan peranan untuk membawa masyarakat Malaysia kembali kepada Allah SWT.
“Maka ketahuilah wahai para alim ulama sekalian, masyarakat kita sedang berhadapan dengan penyakit dalaman, luaran, batin dan mental.
“Masyarakat mengetahui kalian merupakan pewaris paara nabi. Kalian mewarisi ilmu, akhlak dan peranan baginda serta nabi dan rasul sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mahfodz meminta kepimpinan dan ahli DUPP memperbanyakkan dakwah dengan memberi penekanan kepada kefahaman tentang aqidah kepada masyarakat.
Katanya, mereka perlu juga menjauhi sikap cepat menghukum dan menuturkan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan orang lain serta perbanyakkan bersabar dan bertenang.
“Dewan ulama sebagai sayap parti yang menjadi tunjang kepada organisasi , elakkanlah diri dari terperangkap apatah lagi mencetuskan provokasi, kontroversi dan polemik di dalam mahupun di luar jemaah kita,” katanya. -Kedahnews.com