Guan Eng Dakwa PAS Sudah Berubah Jadi "Mesra" UMNO

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
ALOR SETAR - Parti DAP yang sebelum ini puas menghentam PAS hingga menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur telah meluahkan rasa geramnya terhadap parti berkenaan yang dilihat membela Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang bersuara semalam menzahirkan rasa terkejut pada Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz yang seolah enggan percaya pada dakwaan "pelik" Wall Street Journals (WSJ) yang menuduh kononnya Mohd Najib menerima berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kata Guan Eng, terdapat sebilangan pemimpin UMNO sendiri yang goyah terhadap Mohd Najib berhubung dakwaan tersebut, namun agak mengejutkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu apabila Haron Din memberi reaksi sebaliknya.

"Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal hanya menggesa Najib menjelaskan dakwaan itu dan menyaman WSJ.

"Mereka tidak mengatakan dakwaan itu tidak logik. Tetapi PAS mengatakannya, ini petunjuk PAS di bawah kepimpinan baharu sudah berubah," kata Guan Eng yang dipetik dari Malaysian Insider, semalam.

Haron semalam mengatakan dakwaan tersebut seolah dibuat-buat dan memperlihatkan beliau seolah tidak percaya pada dakyah berkenaan.

Mursyidul Am itu dalam kenyataannya berpandangan bahawa sekiranya seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

"Oleh itu, saya merasakan laporan itu mesti disiasat kebenarannya sama ada benar atau tidak.

"Jika sebelum ini banyak laporan dikaitkan dengan perdana menteri dan syarikat 1MDB, tetapi setelah dijelaskan satu persatu, banyak berita didapati tidak benar," kata Haron Din yang menggantikan jawatan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Guan Eng turut dilapor mempersoal kesungguhan PAS dalam mengapi-apikan sentimen rakyat Malaysia berhubung dakwaan yang dilakukan media pro-Zionis Israel itu, sekaligus mendakwa PAS telah berubah menjadi lebih "mesra" UMNO.

"Bukan saja tidak berminat, mereka juga tidak berpengalaman dan tidak kisah dengan isu 1MDB.

"Mereka dilihat lebih berminat untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan. PAS sudah banyak berubah.

"Terpulang kepada rakyat untuk memutuskan sama ada PAS masih lagi parti yang akan menentang Barisan Nasional atau tidak," kata Guan Eng, meneruskan agenda memburuk-burukkan bekas rakan sekutunya itu. -Kedahnews.com