Guru Wanita Sarat Hamil Cemas Diragut Sekumpulan Lelaki

Gambar Hiasan
GEORGETOWN - Seorang wanita dalam keadaan sarat hamil mengalami detik cemas apabila diragut oleh sekumpulan lelaki pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Sekolah La Salle dekat sini ketika mangsa hendak menaiki keretanya.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama dua anak lelakinya baru hendak masuk ke dalam kereta.

“Kejadian berlaku ketika mangsa, seorang guru yang sedang hamil tujuh bulan bersama dua anak lelakinya hendak menaiki kereta. Mangsa kemudiannya didatangi tiga motosikal yang dinaiki enam lelaki kemudiannya meragut rantai emas mangsa.

“Selepas kejadian, keenam-enam suspek melarikan diri dengan menggunakan motosikal mereka. Mangsa yang berusia 35 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius namun mengalami kesakitan di bahagian perut kerana terhantuk pada stereng keretanya,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta untuk pemeriksaan lanjut kandungannya.

“Dari keterangan awal mangsa, dia diragut sebelum sempat menutup pintu keretanya. Bagaimanapun, mangsa tidak pasti sama ada suspek bersenjata ataupun tidak kerana keadaan ketika itu kelam kabut dan mangsa dalam keadaan panik.

“Mangsa dan dua anaknya bagaimanapun tidak dicederakan. Dari keterangan saksi di tempat kejadian, keenam-enam suspek berusia lingkungan 20-an. Polis kini sedang giat memburu suspek,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan yang memperuntukkan 20 tahun penjara dan sebat jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian