"Hadis" Rasulullah Yang Viral Popular Seluruh Dunia, Tapi Palsu


TIDAK dinafikan bulan Ramadan merupakan bulan yang istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai keistimewaan pahala bagi orang mukmin. Apabila datangnya bulan ini, Muslim mula mencari golongan ilmuwan agama untuk mendengar hadis-hadis kelebihan Ramadan dan puasa. Cuma hadis-hadis tentang kelebihan Ramadan yang dibaca adakalanya tidak sahih, bahkan ada yang palsu.

Di kesempatan ini saya akan menyatakan beberapa hadis-hadis masyhur yang tidak sahih berkaitan puasa dan bulan Ramadan.

1. Fadilat solat tarawih mengikut malam.

Hadis ini merupakan antara hadis yang paling masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu ketika datangnya Ramadan suatu ketika dahulu. Kemasyhuran riwayat ini adalah kerana ganjaran bagi sesiapa yang solat tarawih mengikut malam itu terlalu ajaib dan besar. Hadis ini PALSU dan tiada asalnya. Antara tanda (qarinah) kepalsuan riwayat ini ialah:

a. Apabila ia tidak disebutkan dalam mana-mana kitab hadis bersanad dan muktabar. (Rujuk: al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 277).

Hadis ini tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab hadis yang bersanad. Ia merupakan satu tanda bahawa ia palsu. (Lihat: Ibnu Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 8). Tidak dinafikan memang ia ada dalam kitab Durratun Nasihin tetapi ia bukanlah kitab hadis yang muktabar bahkan ia banyak mengandungi cerita-cerita yang tidak ada asalnya dalam kitab-kitab hadis muktabar.

b. Tanda-tanda hadis palsu dalam matannya (teksnya) juga jelas. Ia seperti berikut:

c. Ia menyatakan solat tarawih malam kelapan akan mendapat pahala seperti pahala Nabi Ibrahim as.

d. Ia menyatakan solat tarawih malam kesembilan akan mendapat pahala beribadat sama seperti ibadat Nabi Muhammad SAW.

e. Ia menyatakan solat tarawih malam ke-17 akan dapat pahala seperti ibadat sekalian para Nabi as.

* Saya katakan:

f. Ini jelas bercanggah dengan usul Islam. Mana mungkin seseorang untuk menandingi ibadat Nabi SAW. Apatah lagi nak menyamai pahala sekalian para Nabi as dengan hanya solat dua rakaat. 

Ini terlalu ringan jika ingin dibandingkan dengan ujian yang Allah beri kepada Nabi Muhammad dan Ibrahim sehingga mereka digelar al-Khalil. Mustahil dengan solat dua rakaat dia akan menjadi lebih baik daripada mana-mana Nabi. Ini amat pelik bagi akal.  

g. Setiap hadis yang mengandungi unsur mujazafah. Mujazafah bermaksud setiap hadis yang menyatakan pahala yang sangat besar bagi amalan yang sedikit atau azab besar bagi dosa kecil. Mujazafah ini adalah antara tanda-tanda hadis palsu. (Lihat: al-Zahabi, al-Muqizah, hlm. 37)

h. al-Athyubi dan Ibnu Iraq menukilkan pendapat al-Burhan al-Naji: “Di antara tanda-tanda hadis palsu ialah menyatakan amalan tertentu boleh diganjari pahala seorang Nabi atau sekalian para
Nabi”. (Lihat: al-Athyubi, Syarah al-Athyubi ‘ala Alfiah al-Suyuty, jld. 1, hlm. 293, Ibnu Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 8)

i. Ulama hadis menyatakan bahawa hadis daif boleh digunakan dalam Fadhail al-A’mal. Tetapi ia mesti mematuhi tiga syarat berikut:
i. Hadis daif itu dikategorikan sebagai hadis daif ringan.
ii. Amalan yang dianjurkan itu telah datang dalam hadis lain yang sabit daripada Nabi SAW.
iii. Tidak menyandarkan hadis itu kepada Nabi SAW ketika beramal dengannya. Sebaliknya semata-mata kerana ihtiyat (berjaga-jaga). (Lihat: al-Suyuty, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 298)
j. Jika diteliti, hadis daif yang boleh digunakan untuk fadhail al-A’mal adalah hadis daif ringan sedangkan hadis fadilat tarawih mengikut malam ini palsu. Maka sudah pasti hadis ini tidak boleh digunakan dalam bab Fadhail al-A’mal.

Bahkan ulama Ahli Sunnah bersepakat menyatakan bahawa haram bagi seseorang meriwayatkan hadis palsu melainkan untuk menyatakan bahawa ia palsu. (Lihat: al-’Iraqi, al-Taqyid wa al-Idhah, hlm 345) Tetapi mereka yang membaca hadis ini di depan orang awam jarang sekali untuk menyatakan ia palsu. Berkemungkinan besar si pembaca sendiri tidak tahu bahawa hadis itu palsu.

Cukuplah hadis sahih riwayat Bukhari yang menyatakan, sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.

2. Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadan, Allah akan haramkan jasadnya daripada neraka.

Hadis ini juga masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia sering dibaca oleh sebahagian ustaz-ustaz untuk menggalakkan orang menghargai bulan Ramadan.

Ia niat yang baik, Cuma hadis ini tiada asalnya. Ia hanya disebut dalam kitab Durratun Nasihin. Walau bagaimanapun ia tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis muktabar dan bersanad.

3. Ramadan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan hujungnya pembebasan daripada api neraka.

Hadis ini juga antara hadis masyhur yang dibacakan oleh ramai ilmuwan ketika tazkirah di bulan Ramadan. Sebenarnya hadis ini adalah hadis munkar (terlalu daif). Berikut adalah keterangannya:

a. Hadis ini adalah hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya. Tetapi Ibnu Khuzaimah sendiri mengisyaratkan bahawa hadis ini tidak sahih apabila beliau menyebut ketika meriwayatkan hadis ini: “Jika khabar (hadis) ini sahih..”. (Rujuk: Ibnu Khuzaimah, al-Sahih, jld. 3, hlm. 191)

Sebenarnya perkataan ini adalah isyarat bahawa hadis ini bermasalah kerana amat ganjil ulama hadis sebesar Ibnu Khuzaimah tidak pasti kesahihan riwayat ini.

b. Riwayat ini dinilai munkar oleh Abu Hatim al-Razi (meninggal 277Hijrah). (Rujuk: Ibn Abi Hatim, Ilal al-Hadith, jld. 1, hlm. 249).

c. Antara tanda munkarnya hadis ini ialah perkara berikut:

i. Zaid bin Jud’an bersendiri dalam meriwayatkan hadis ini
ii. Said bin al-Musayyib tidak mendengar hadis daripada Salman al-farisi
iii. Teks hadis ini juga menyanggahi hadis sahih yang Said bin al-Musayyib. Sedangkan Said bin al-Musayyib adalah ulama hadis besar. Mengapa anak murid kanannya tidak meriwayatkan hadis ini?
Farisi menyatakan bahawa setiap malam Ramadan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

4. Lima perkara membatalkan puasa

Antara hadis yang masyhur dibaca dalam tazkirah di bulan Ramadan ialah hadis yang menyatakan lima amalan yang membatalkan puasa.

Amalan ini ialah berbohong, mengadu domba, melihat (bukan mahram) dengan syahwat, mengumpat dan sumpah dusta.

Hadis ini dinilai palsu oleh Abu Harim al-Razi, Ibnu al-Jauzi, al-Suyuti, Ibnu Iraq al-Kinani dan al-Syaukani. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, ‘Ilal al-Hadith, jld. 1, hlm. 259, Ibnu al-Jauzi, al-Maudhuat, jld. 2, hlm. 195-196, al-Suyuti, jld. 2, hlm. 90, Ibnu Iraq al-Kinani, Tanzih al-Syari’ah, jld. 2, hlm. 145, al-Syaukani, al-Fawaid al-Majmu’ah, 95).

Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi pendusta bernama Said bin ‘Anbasah dan Maisarah bin Abd Rabbih.

Hadis ini dinilai palsu oleh Abu Hatim al-Razi, Ibnu al-Jauzi, Tidak dinafikan bahawa lima perkara ini merupakan perkara yang sangat ditegah oleh Islam dan ia mengurangkan pahala puasa.

Cuma penisbahan bahawa lima perkara ini membatalkan puasa kepada Nabi SAW tiada asasnya.

5. Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih.

Hadis ini juga daif. Ia diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat Nabi SAW antaranya Abdullah bin Abi Aufa, Ibnu Mas’ud dan Ali bin Abi Talib. Tetapi semua jalannya tidak terlepas daripada kedaifan. Al-Baihaqi sendiri mendaifkanya di dalam Syu’ab al-Iman. (Rujuk: Syu’ab al-Iman, jld. 3, hlm. 413) al-‘Iraqi juga menilainya daif.

Saya mengetahui niat baik sebahagian ilmuwan yang membaca hadis-hadis di atas untuk menasihati masyarakat. Cuma niat baik mestilah diikuti dengan cara yang betul. Niat ini juga menjadikan sebahagian golongan zuhud di zaman silam untuk memalsukan hadis.

Ulama hadis silam tetap menegur golongan ini kerana cara mereka salah walaupun niat mereka baik. Lihat sahaja komentar ulama hadis terhadap Maisarah bin Abd Rabbih. (Rujuk: al-San’ani, Taudhih al-Afkar, jld. 2, hlm. 82)

Sesuatu yang perlu diingati juga bahawa penilaian hadis adakalanya tiada kaitan dengan akhlak perawi. Ia adalah disiplin ilmu. Imam Malik pernah meninggalkan riwayat beberapa perawi di Masjid Nabawi walaupun akhlak mereka baik. 

Mengapa begitu? Biarlah Imam Malik sendiri menjawabnya: Saya berjumpa 70 orang di sisi tiang-tiang ini (sambil menunjukkan ke arah Masjid Nabawi) yang mengatakan: “Sabda Rasul SAW...” tetapi saya tidak mengambil sesuatu (hadis) pun daripada mereka sedangkan setiap mereka ini jika diamanahkan untuk menjaga baitulmal sudah pasti mereka amanah (menjaganya) tetapi mereka bukanlah orang di bidang ini (bidang hadis). (Rujuk: al-Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi Ilm al-Riwayah, hlm. 159)

Akhirnya, saya menyeru kepada sahabat semua agar kita berhati-hati sebelum menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW. Hadis ini adalah agama. Bahkan baginda Nabi sendiri menjanjikan neraka bagi mereka yang berdusta ke atasnya. Puasa mengajar kita membersihkan amalan dan jiwa maka jangan pula kita kotorkan mulut kita dengan menyebarkan sesuatu yang dihukum dusta oleh ulama hadis atas nama baginda.

Sumber: Utusan