BAGI generasi lama, skrip drama kali ini seperti mengulangi cerita sama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1999 lalu apabila wujud dua kumpulan parti pembangkang dengan diketuai PKR yang cekal melawan BN.
PKR yang waktu itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) ternyata pihak paling bertuah dan bijak eksploitasi peluang apabila secara kebetulan muncul serentak dalam kedua-dua kumpulan siasah tersebut.
Di Pantai Barat serta Sabah dan Sarawak, PKN bergabung dengan DAP membentuk Barisan Alternatif (BA), manakala di negeri-negeri Pantai Timur, PKN dengan Pas mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Kedua-dua BA dan APU masing-masing disertai beberapa parti kecil lain mengikut fahaman ideologi tersendiri tanpa menyedari PKN sedang ‘mempergunakan’ mereka demi menumbangkan BN sebagai musuh bersama!
Begitulah hebatnya Anwar Ibrahim ‘menghidupkan’ pembangkang setelah dipecat negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998 sehari selepas selesai sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang.
Walhal sebelum itu, semua orang di Malaysia waima satu dunia tahu Pas dan DAP amat lesu serta tidak mungkin boleh bekerjasama meskipun matlamat dua parti tersebut sejak ditubuhkan hanyalah satu: Gulingkan BN!
BA dan APU akhirnya berkubur hinggalah muncul Pakatan Rakyat (PR) diwujudkan pada 2008, itupun beberapa bulan selepas habis PRU tahun itu yang menyaksikan BN tumbang di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Sekali lagi, PKR berjaya ‘memperkudakan’ Pas dan DAP yang jauh berbeza perjuangan bagai langit dengan bumi sebagai alat tunggangan mereka dengan tagline popular tiga parti itu: ‘Bersepakat untuk tidak bersepakat!’.
Ramai memandang sinis mengenai PR yang caca-marba tetapi jika tanya penyokong tegar pembangkang khasnya Pas, dengan pantas mereka segera menjawab: “Ini semua permainan jahat BN untuk melaga-lagakan kami!”
Hari ini terbukti memang benar PKR adalah pemenang sebenar. Krisis Pas dengan DAP akhirnya membongkar rupa asli PR yang selama ini berjuang penuh kepura-puraan bukan untuk rakyat tetapi bersatu demi Anwar.
Bekas ketua pembangkang dan mantan ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dipenjarakan atas kes liwat dengan angkuh mengesahkan Pas tiada dalam sebuah lagi pakatan baharu bagi ganti PR yang telah musnah dibubarkan.
Pengumuman bersejarah pada 22 Julai itu menunjukkan satu kerjasama baharu akan wujud antara pembangkang termasuk bersama kumpulan progresif Pas yang bakal menubuhkan sebuah parti Islam baharu tidak lama lagi.
Menerusi peguamnya, Anwar berkata, pihaknya sedang memperkukuhkan pakatan tersebut dan dijangka disertai ramai pemimpin Pas yang kini sibuk menubuhkan parti terbaharu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB).
Ramai penyokong Pas dilaporkan tersentak bisu dan tergamam kelu dengan berita itu kerana Pas yang selama ini bertungkus lumus menjayakan agenda PR hari ini dibalas penuh kehinaan seperti habis madu sepah pun dibuang.
Sekali lagi diulangi, pengumuman Anwar yang disanjung PAS bukan direka Bernama, TV3, Utusan Malaysia atau laman pro-BN tetapi diuar-uarkan dengan penuh riang gembira oleh semua blog dan portal propembangkang.
Ia turut disahkan pemimpin ‘otai’ DAP, Lim Kit Siang ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen semalam sambil menegaskan gabungan itu akan dikenali sama ada sebagai PR 2.0, Pakatan Baru atau Harapan Baru.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu dengan bongkak mengesahkan DAP dan PKR sudah bertemu serta berbincang dengan GHB untuk membentuk pakatan tersebut, sekali lagi langsung tanpa penglibatan pemimpin rasmi PAS.
Kit Siang pada majlis Aidilfitri anjuran Parlimen tanpa berselindung menuduh PAS sebagai punca PR berkubur dan menyelar kepimpinan PAS sebagai tidak boleh dipercayai; sekali lagi ayat ini tidak pun direka portal yang pro-BN.
Hakikatnya, tidak kira BA, APU, PR dan kini entah apa-apa nama lagi, PKR boleh tersenyum kerana merekalah juara mastermind mencorakkan hala tuju pembangkang meskipun Anwar terkurung dalam penjara Sungai Buloh. -Mynewshub.cc