"Harapan Baru" Umpama "Makhluk Dua Alam", Tak Tahan Lama - Ulama PAS


KUALA LUMPUR – Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dipelopori bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti itu pada bulan lalu bakal menjadi sebuah parti politik sekular seperti diidamkan DAP.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Mokhtar Senik berkata, DAP gagal menjadikan PAS sebagai sebuah parti Islam yang sekular selama ini dan GHB akan menjayakan cita-cita DAP tersebut.

Justeru, beliau percaya GHB jika muncul sebagai parti politik Islam kedua selepas PAS tidak akan dapat bertahan lama dalam arena politik tanah air.

“Akhirnya mereka terpaksa kembali menjadi PAS yang mendokong semua perinsip ajaran Islam atau terpaksa menjadi parti sakular juga seperti DAP dan lain-lain parti sakular.

“Mereka tidak akan dapat bertahan lama dengan menjadi “makhluk dua alam”. Satu sisi bercakap sebagai parti Islam dan satu sisi yg lain bercakap sebagai parti sekular,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mokhtar berharap supaya bekas pemimpin PAS yang melopori pembentukan GHB tidak menunaikan kehendak musuh Islam seperti yang diinginkan oleh DAP.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, DAP sebenarnya tidak menyenangi PAS kerana dasar Islam yang dijunjung parti itu dan mahu PAS menjadi seperti DAP yang tidak mempedulikan hukum Islam.

Menurutnya, DAP lebih selesa jika PAS mengubah dasar parti itu kepada pendekatan yang lebih liberal dengan mengekalkan nama Islam tetapi tidak terikat dengan hukum Al-quran dan Hadis.

“DAP mengambil sikap menyerang barisan ulama PAS termasuk Presiden dan Majlis Syura PAS kerana golongan ini dilihat sebagai penghalang usaha mengsakularkan PAS.

“Allah menghendaki berlaku sebaliknya. Muktamar PAS menyaksikan kem anti ulama dan mesra DAP kecundang. Keputusan ini sangat mengecewakan DAP. Usaha menguasai PAS daripada dalam gagal,” katanya.

Kata beliau, DAP kemudian terpaksa melaksanakan pelan B iaitu memecahbelahkan PAS dengan mewujudkan GHB. -Kedahnews.com