Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016
di Rio de Janeiro, Brazil apabila tumpas 2-3 kepada India pada
perlawanan suku akhir Liga Hoki Sedunia (HWL) di Stadium KHC Dragons di
Antwerp, Belgium.
Kali terakhir Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.
Pada Ahad lepas, Malaysia tewas 1-3 kepada Great Britain untuk
menduduki tempat ketiga Kumpulan B. Ia adalah kekalahan kedua
berturut-turut selepas tumpas 0-2 kepada tuan rumah Belgium pada Jumaat
lepas.
Malaysia memulakan kempen pada kejohanan tersebut dengan bergaya apabila mengalahkan China 3-2 dan menewaskan Ireland 4-2.
Tiga pasukan teratas pada kejohanan tersebut layak secara automatik
beraksi pada Sukan Olimpik 2016, manakala pasukan di kedudukan keempat
masih berpeluang layak ke temasya sukan tersebut.
Pada aksi hidup mati menentang India hari ini, Malaysia dikejutkan
dengan gol pembukaan India pada minit ketiga menerusi Satbir Singh yang
tidak dikawal, namun skuad negara bangkit menyamakan kedudukan melalui
ketua pasukan Mohd Razie Abdul Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut
penalti pada minit ke-11.
Malaysia terus menampilkan aksi terbaik dan mencipta banyak peluang
dengan dua pukulan sudut penalti pada suku kedua perlawanan namun sukar
membolosi pintu gol India, sehinggalah pada minit ke-23.
Shahril Saabah yang membuat penampilan pertama pada kejohanan
tersebut berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan
‘The Speedy Tigers’ di hadapan tujuh minit sebelum separuh masa pertama
tamat.
Penjaga gol Roslan Jamaluddin yang menggantikan tempat S. Kumar, yang
terpaksa pulang ke tanah air berikutan kematian anak lelakinya sebelum
kejohanan itu bermula, berjaya menyelamatkan beberapa percubaan
berbahaya India pada suku ketiga permainan.
Namun di suku keempat perlawanan, dua pukulan sudut penalti daripada
Jasjit Kular Singh pada minit ke-49 dan 56, meranapkan harapan Malaysia
untuk menamatkan kemarau beraksi pada Sukan Olimpik. – BERNAMA