Hari Pertama Ops Hari Raya Aidilfitri: JPJ Kesan 170 Kesalahan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 170 pelbagai kesalahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 1,030 kenderaan dan motosikal pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri 2015 yang bermula malam tadi hingga 25 Julai depan.

Ketua pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

“Operasi turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) dan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas ops berkenaan di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duke di sini malam tadi.

Dalam ops lebih dua jam itu, tujuh pemandu menjalani pemeriksaan air kencing selepas disyaki terlibat dalam kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah oleh AADK, 54 saman dikeluarkan PDRM dan dua saman oleh SPAD, katanya.

Menurut beliau, ops berkenaan berjalan serentak di seluruh negara membabitkan semua JPJ negeri dengan kekuatan 1,800 anggota.

Sementara itu, katanya JPJ turut menguna kaedah penyamaran penumpang bas dan penyamaran bergambar bagi menjayakan operasi berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 75 pasukan anggota JPJ akan menyamar sebagai penumpang bas dan mereka akan menaiki bas di terminal bas seperti penumpang lain.

“Tugas mereka adalah merekod kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu bas berkenaan seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had laju, memotong sebelah kanan dan sebagainya,” katanya.

Katanya anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas akan mengeluarkan notis sekiranya pemandu bas ada melakukan kesalahan apabila tiba ke distinasi, manakala saman akan dikeluarkan selepas itu.

Beliau berkata JPJ juga mengunakan kaedah penyamaran bergambar bagi merekod kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh semua kenderaan.

“Sebanyak 28 pasukan akan memantau semua kenderaan di jalan raya bagi merekod pelbagai kesalahan utama jalan raya seperti tidak memakai topi keledar, tali pinggang keledar, melanggar lampu isyarat dan lain-lain,” katanya. – BERNAMA