Haron Din Harap Dakwaan Terhadap Mohd Najib Tidak Benar, Seolah Direka

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz
ALOR SETAR - Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz mengharapkan agar dakwaan media barat, Wall Street Journal, terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah tidak benar.

Haron Din berkata, beliau khuatir ramai yang akan hilang kepercayaan pada kepimpinan negara sekiranya dakwaan media yang terkenal memburuk-burukkan negara itu didapati benar.

"Bagaimanapun jika perkara itu (pemindahan dana daripada 1MDB ke akaun peribadi Najib) berlaku maka amat malang  sekali kepada rakyat Malaysia kerana dalam suasana ekonomi negara sedang diambang kemerosotan dan nilai ringgit kejatuhan tetapi tiba-tiba kita dapat perkhabaran macam ini yang menyebabkan pelabur luar takut untuk melabur di negara ini.
"Jika berlaku sekaligus  orang ramai akan hilang keyakinan kepimpinan negara. Oleh itu saya berharap perkara itu tidak berlaku," katanya kepada media dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Haron Din dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa dakwaan palsu itu seolah dibuat-buat dan direka pihak tertentu.

"Sukar untuk dipercayai bahawa seseorang telah memindahkan dana awam ke dalam akaun peribadi.

"Jika seseorang itu mahu menipu, mereka akan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun rahsia," kata beliau sambil menambah bahawa ia tindakan yang salah untuk mengaitkan seseorang tanpa bukti kukuh, sebagaimana yang dipetik dari Mstar.

Selain menjelaskan ia mampu memberi impak negatif terhadap kepimpinan negara, Mursyidul Am PAS itu juga meminta supaya Perdana Menteri tampil membuktikan dakwaan media asing itu adalah tidak benar sama sekali.

Najib dalam kenyataannya semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dakwaan palsu terhadapnya itu merupakan sebahagian daripada kempen politik bersepadu untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
“Saya ingin menyatakan secara jelas, Saya tidak pernah ambil dana untuk kepentingan peribadi seperti didakwa oleh musuh-musuh politik saya – sama ada daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti disahkan sendiri oleh syarikat-syarikat ini,” tegas Najib.

Beliau turut yakin bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersekongkol dengan warga asing termasuk serangan politik oleh blog Sarawak Report di sebalik pembohongan terbaru ini. -Kedahnews.com