Hasrat Berhari Raya Terbantut, Rumah Musnah Terbakar Di Kuala Nerang

Rumah baharu milik Rohe musnah terbakar selepas siap pada 2013 lalu di Kampung Pengkalan Tok Putih, Tualak, kelmarin.
KUALA NERANG - Hasrat sebuah keluarga untuk menziarahi saudara tidak kesampaian kelmarin apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Tok Putih , Mukim Tualak kelmarin.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Rohe Medah, 45, bercadang untuk melawat saudara sempena Aidilfitri ini terhidu bau sesuatu terbakar dan menyangka jiran membakar sampah.

Menurutnya, apabila dia memeriksa di luar kediaman, dia mendapati tiada sesiapa pun membakar sampah.

“Saya mengarahkan suami dan anak saya naik ke atas rumah. Apabila mereka naik di atas rumah dan masuk ke dalam bilik mendapati terdapat asap yang mengeluarkan api.

“Bimbang api semakin merebak suami saya menyiram api itu dan terpadam kemudiannya. Bagaimanapun tidak lama kemudian api itu menyala kembali hingga sukar untuk dipadam dengan air,” katanya.

Rohe berkata, dia sekeluarga segera turut ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri apabila mendapati api berkenaan sukar dipadamkan.

Jelasnya, ketika sampai di tingkat bawah, ada penduduk kampung menjerit supaya keluarganya menyelamatkan diri dan memberitahu mereka sudah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Bagaimanapun pada masa itu saya mula terasa anak bongsu, Naufal tidak bersama kami menyebabkan suami saya terpaksa meredah api dengan masuk ke dalam bilik bagi mencarinya.

“Alhamdulillah, dalam kesibukan mencari anak saya itu tiba-tiba dia muncul dan difahamkan sebelum itu dia keluar bermain di luar kawasan rumah," katanya.

Rohe berkata, banyak barangan peribadi tidak dapat diselamatkan dan keluarganya hanya mampu melihat api membakar kediamannya.

"Saya terkilan kerana rumah itu dibeli pada tahun 2013 dan baru sahaja siap dibaik pulih.

"Saya telah habiskan hampir RM100,000 bagi membaiki dan membinanya semula supaya keluarga saya dapat hidup lebih selesa di kampung itu tetapi kini kediaman itu musnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Johari Saad berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian kebakaran tersebut pada jam 11.38 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota terlibat dalam memadam kebakaran itu dan pihaknya mendapati api mula marak pada tingkat atas rumah itu.

“Anggota saya berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 12.06 tengah hari dan  api padam sepenuhnya pada jam 2.52 petang. Bagaimanapun punca kebakaran dalam siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian