Mangsa mercun |
KOTA BHARU – Seorang pelajar berumur 15 tahun dipercayai menjadi
mangsa pertama bermain mercun di Kelantan sempena sambutan hari raya
tahun ini.
Empat jari Muhammad Rizaimie Zamri hancur terkena mercun buatan
sendiri di di Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Tumpat malam tadi.
Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Ibunya Che Rosmaini Che Sulaiman, 38, berkata kejadian berlaku
selepas anaknya keluar rumah selepas berbuka puasa kira-kira pukul 8
malam.
“Tidak lama kemudian saya mendengar bunyi dentuman kuat. Pada mulanya
saya tidak menyangka bunyi itu adalah bunyi mercun yang anak saya main
bersama kawan-kawannya.
“Saya kemudiannya bergegas keluar rumah dan mendapati anak saya sudah
dibawa abang saya dengan kereta ke hospital,” katanya kepada pemberita
ketika melawat anaknya di hospital.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Ab Aziz Abdullah berkata
mangsa tidak dapat menulis yang menyukarkan pembelajarannya. – BERNAMA