Hotel Manchester United Dipandang Jengkel Di Old Trafford?


Manchster United dianggap kelab paling bernilai di dunia dan sentiasa ke hadapan dalam usaha menjana pendapatan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Namun setiap hari di Old Trafford, kakitangan pemasaran dan komersil United terpaksa menghadap sebuah bangunan kaca yang besar, merenung kepada satu peluang yang terlepas daripada genggaman kelab itu.

‘Hotel Football’, adalah hasil buah fikiran bekas kapten kelab itu Gary Neville.

Terletak di sebidang tanah tidak jauh daripada patung tiga legenda kelab itu iaitu George Best, Sir Bobby Charlton dan Dennis Law, yang memuatkan 130 bilik, pastinya tidak terlepas daripada pandangan sesiapa yang pernah ke sana.

Memuatkan sebuah bar, restoran, dan kemudahan empat bintang termasuk padang bola di atas bumbung, hotel itu baru dibuka beberapa bulan lalu dan kini menjadi bahagian penting dalam lanskap Old Trafford.

Peminat berkumpul di sana sebelum perlawanan dan kemudiannya menghadiri sesi soal jawab dengan pemilik bersama hotel itu seperti Ryan Giggs.

Pada mulanya pegawai di United cuba menghalang kebenaran perancangan hotel itu dengan mendakwa bangunan itu akan menghalang pandangan di Old Trafford.

Kini, selepas gagal berbuat demikian, ketua eksekutif United Ed Woodward dan pengarah urusan, Richard Arnold mempertimbangkan pendekatan yang lebih berterus terang. Mereka mahu cuba membeli hotel itu.

Difahamkan pendekatan itu dibuat United kepada Neville dan rakan sekutu perniagaannya sebelum pembukaan hotel itu.

Ia tidak membawa United ke mana-mana dan tiada apa yang berlaku selepas itu. Bagaimanapun menurut sumber, isu itu masih belum selesai.

“Hotel berkenaan menjengkelkan ramai orang di United,” kata sumber di Old Trafford.

“Bukan saja kerana mereka tidak boleh menghalangnya tetapi mereka sedar mereka sepatutnya memikirkan mengenai perkara itu terlebih dahulu.

“Namun anda tidak boleh melupakannya apatah lagi jika anda bekerja di Old Trafford. Setiap kali anda memandang keluar dari meja, ia bagaikan merenung anda dari sana.”

Bagaimanapun Neville dan Giggs menunjukkan diri mereka sebagai ahli perniagaan yang pintar dan tidak bermain dengan emosi.

Mereka merancang pembinaan hotel kedua, kali ini di pusat bandar Manchester.

Sumber: myMetro