Setiap kali Syawal tiba, anak-anak paling dirindukan oleh warga emas ini. |
SUNGAI PETANI – Sudah tiga tahun menjadi penghuni pusat jagaan orang tua, seorang warga emas mengakui sangat merindukan anak-anaknya setiap kali menjelang Aidilfitri.
Penghuni pusat jagaan di salah sebuah lokasi di negeri ini yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Limah, 70-an berkata, anak-anaknya ada datang menjenguk setiap kali tibanya Syawal, namun dia sangat rindukan saat-saat bersama mereka, menantu dan cucu.
Bagaimanapun, apabila memikirkan layanan anak-anak terhadap dirinya yang sudah tua, dia lebih rela tinggal di pusat jagaan yang kini menjadi perlindungan buatnya berbanding bersama mereka yang sering bergaduh sesama sendiri apabila terpaksa menjaga dirinya.
Menceritakan kisah silam, Mak Limah mendakwa, dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali namun tidak pernah kekal.
Menurutnya, dia tidak sanggup untuk terus berkongsi kerana ada antara suaminya seorang kaki pukul, pernah mencederakannya sehingga kini serik untuk berkahwin lagi.
“Mak Limah ada tujuh anak, empat anak lelaki dan tiga anak perempuan.
“Sejak Mak Limah disahkan menghidap kencing manis pada 2008 sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan ditempatkan di hospital, anak-anak rasa terbeban kerana terpaksa membantu pergerakan sepenuh masa.
“Selepas penyakit merebak, doktor menasihatkan agar kaki kanan dibuang sementara penglihatan pula sedikit demi sedikit mula menunjukkan tanda-tanda sehingga kini menjadi kabur,” katanya yang kini menggunakan kerusi roda sepanjang masa.
Anak tak terima selepas keluar hospital
Dakwa Mak Limah, sejak sekian lama menjalani rawatan di hospital akibat penyakitnya itu, dia akhirnya dibenarkan pulang apabila tahap kesihatan semakin stabil.
Namun, apabila pihak hospital menghubungi waris, kesemua anak-anaknya mula menunjukkan sikap endah tak endah.
“Mak Limah dimarahi kakitangan hospital kerana memberikan nombor telefon palsu sedangkan ia adalah nombor telefon anak sendiri.
“Apabila dihubungi, orang di talian mengesahkan tidak mengenali Mak Limah dan menjelaskan tersilap nombor.
“Mak Limah sedih dan menghubungi semula anak-anak dan bertanya mengapa mereka berbohong sedangkan Mak Limah tahu itu nombor anak-anak,” katanya.
Akhirnya pihak hospital terpaksa menyerahkan warga emas terbabit ke pusat jagaan memandangkan tiada waris yang datang menuntutnya di hospital.
Mak Limah bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah terhadap dirinya dan kini banyak menghabiskan masa bersama rakan penghuni lain di samping mendekatkan diri dengan Sang Pencipta.
Rayu anak datang melawat
Seperti rakan penghuni lain, warga emas itu berharap agar ada antara anak-anak yang mengingatinya serta meluangkan masa menziarahinya di pusat jagaan berkenaan sempena Aidilfitri.
Katanya, semasa masih muda, dia antara yang paling gembira menyambut hari raya dengan menyediakan pelbagai juadah untuk meraikan tetamu yang bertandang ke rumah.
“Namun, itu semua hanya tinggal kenangan dan kini hanya berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama kakitangan dan rakan penghuni lain secara ala kadar.
“Sempena hari raya yang mulia, Mak Limah mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan yang pernah dilakukan terhadap anak-anak, namun Mak Limah merayu agar jenguk ke sini kerana amat merindui mereka,” jelasnya dengan linangan air mata.
Dia bagaimanapun mengakui selesa berada di pusat jagaan berkenaan kerana diberi layanan, makanan, pakaian serta keperluan lain mengikut kesesuaian.
Selain menghabiskan masa bermuhasabah diri, Mak Limah lebih banyak bersendiri mengingati anak-anaknya di samping bersama rakan-rakan menghabiskan sisa-sisa hidup di pusat jagaan berkenaan sehingga ke penghujung usia.
Sumber: Sinar Harian