Suzaini sudah hampir 2 bulan hilang |
Menurut Nurul Shamsuhaila, hari terakhir dia bertemu ibunya ketika dihantar ke sekolah menaiki motosikal, 12 Mei lalu.
“Tak sangka selepas ibu hantar saya pada pagi itu, saya tak lagi jumpa ibu. Ibu pun tak ada cakap atau pesan apa-apa.
“Saya ingat lagi ibu pakai baju belang warna biru bersama seluar, tanpa bawa beg pakaian,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia dan bapanya ada juga menghubungi ibunya apabila semalaman tidak pulang ke rumah, namun telefon sudah ditutup.
“Kami cuba beratus kali hubungi ibu sehingga ke hari ini, tapi tak dapat. Saya mahu ibu pulang, raya semakin dekat, kami rindukan ibu.
"Malah, adik (Intan Shamila Shamsul, 9) sering menangis di waktu malam apabila terjaga dari tidur. Yaya selalu bertanyakan mana ibu. Ibu cepatlah pulang," katanya.
Sementara itu, suaminya yang hanya mahu dikenali Shamsul, 39, berkata, dia turut merindui isterinya itu dan berharap dia pulang segera ke pangkuan keluarga.
“Su (isteri) abang sayang Su. Su pulanglah. Kalau ada masalah kita selesaikan sama-sama.
“Anak-anak pun rindukan Su, pulanglah Su. Raya pun tak lama saja lagi. Abang sudah cuba hubungi Su tapi tak dapat. Abang tanya kawan-kawan Su, saudara mara tapi mereka juga tak tahu," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, laporan berkaitan kehilangan Suzaini sudah dibuat di Balai Polis Padang Serai, 14 Mei lalu.
"Malah, anak juga ada paparkan kehilangan ibu mereka di media sosial.
"Saya harap sangat, mereka yang tahu di mana Suzaini, dapat hubungi saya segera," katanya.