ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina, Kemboja dan Indonesia dalam tiga operasi berasingan di beberapa daerah negeri ini pada Ahad dan Isnin lepas.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam ‘Ops Belanja’ Ahad lepas di sebuah kedai di Changloon, seorang wanita Filipina berusia 24 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun, ditahan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki tempatan itu merupakan majikan kepada PATI tersebut dan ditahan kerana melindungi pendatang asing,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam ‘Ops Pengemis’ oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan Jabatan Imigresen cawangan Sungai Petani, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Kemboja ditahan di bazar Ramadan di Taman Ria, katanya.
Menurutnya, wanita dan kanak-kanak yang ditahan itu berpura-pura mengaku Islam ketika mengemis dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
Dalam ‘Ops Sapu’ Isnin lepas pula katanya, pihaknya menahan 16 pendatang asing Indonesia terdiri daripada 11 lelaki dan lima wanita berumur antara 19 hingga 61 tahun daripada empat buah premis rumah di Gurun dan Jeniang. – BERNAMA