Antara warga asing ditahan dalam Ops Kutip, kelmarin. |
ALOR SETAR - Beberapa warga asing didakwa mengambil kesempatan meminta wang ketika penduduk tempatan meraikan hari raya kedua Aidilfitri.
Bagaimanapun, tindakan sekumpulan warga asing berkenaan membawa padah apabila ditahan pihak Imigresen Kedah diketuai Penolong Pengarah Imigresen, Nar Azaman Ibrahim.
Bertindak atas maklumat, kira-kira enam warga Pakistan ditahan dalam Ops Kutip diadakan bermula jam 3 petang, kelmarin di sekitar Jalan Tok Pasai, Kuala Kedah.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, mereka ditahan didapati berusia antara 20 hingga 28 tahun melalui pemeriksaan dilakukan.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk setempat memaklumkan ketidakselesaan mereka berhubung kehadiran warga asing meminta wang daripada pengunjung masjid dan penduduk.
“Berdasarkan maklumat dokumen dipamerkan mereka, namun belum disahkan, beberapa warga Pakistan berkenaan sepatutnya bekerja di Kota Tinggi, Johor Bahru dan Seremban.
"Sekumpulan warga Pakistan berkenaan dilihat berkeliaran sekitar Kuala Kedah," katanya.
Dalam pada itu katanya, tiga warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala selebihnya didakwa melanggar syarat pas melawat.
Katanya, tiga warga Pakistan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pind.2002) dan selebihnya di bawah Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Keenam warga Pakistan berkenaan ditahan untuk siasatan di Lokap Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit.
Sumber: Sinar Harian