Ini Isu Gangster, Low Yat Perlu Ditutup Sementara - Rani Kulup #Kipidap

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah
ALOR SETAR - Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah mendakwa insiden kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat semalam adalah merupakan isu "gangsterisme" yang tidak wajar dibiarkan.

Abdul Rani yang lebih dikenali sebagai "Ayah Arka" itu bertegas akan membuat laporan polis berkenaan isu tersebut esok turut mendesak pihak berkuasa supaya menutup plaza berkenaan buat sementara waktu sehingga siasatan berhubung insiden selesai dijalankan.

“Kami akan membuat laporan polis esok. Ia merupakan isu gangster dan harus diberi perhatian sewajarnya.

“Saya mahu tekankan, paling penting mana-mana lokasi termasuk Low Yat ini harus segera ditutup jika insiden seumpama ini berlaku.

“TUTUP sementara Plaza Low Yat sehingga siasatan insiden pergaduhan yang berlaku pada malam Sabtu yang dikatakan berpunca akibat penipuan oleh peniaga itu selesai,” tegas "Raja Repot Negara" itu hari ini, yang dipetik dari Astro Awani.

Menurut Ayah Arka, isu penipuan dan paksaan kepada pembeli bukanlah perkara baru di Plaza Low Yat, malah dikatakan perkara yang sama turut berlaku di beberapa kawasan lain di sekitar ibu negara.

Katanya, beberapa peniagaan di kawasan tersebut juga didakwa Abdul Rani dimiliki oleh kumpulan samseng.

“Bukan sahaja di Low Yat malah di Jalan Petaling dan beberapa kawasan, penjual diketahui dijaga kumpulan gangster.

“Jika ada pelanggan yang membatalkan hasrat untuk membeli, mereka akan diherdik. Ia sekali gus menimbulkan ketakutan kepada pembeli,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut berkenaan insiden pergaduhan yang berlaku di Low Yat, Abdul Rani memberitahu media bahawa ia merupakan satu pengajaran kepada masyarakat agar lebih berwaspada pada masa yang akan datang.

“Bagus juga ada kes sebegini, barulah semua orang buka mata. Biar masyarakat tahu ada situasi seperti ini,” katanya.

Turut difahamkan bahawa MJMM akan membuat laporan polis berkenaan isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok. -Kedahnews.com