Gambar Hiasan |
KUCHING – Jika mengambil kira segala macam promosi dan propaganda kumpulan pemisah ini, mungkin dapat dijangka seluruh Sarawak pagi Rabu ‘bergegar’ dengan sentimen anti-Malaysia yang cukup meluap-luap di dada.
Malangnya jika niat itu sendiri adalah jahat, maka hasilnya pastilah tidak berkat dan itulah yang berlaku pada perhimpunan dikenali sebagai ‘722 Sarawak Freedom and Independence Day Walk‘ gagal dapat sambutan.
Portal berita AgendaDaily melaporkan, hanya kira-kira 1,000 orang sahaja menghadiri perhimpunan terbesar dan cukup meriah di Padang Jubilee di Kuching pagi 22 Julai setelah letih berkumpul di situ sejak pukul 7.30 pagi.
Meskipun dinasihatkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman supaya tidak berbuat demikian, peserta yang majoritinya bukan Islam enggan mengalah biarpun menanggung malu kurang sambutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar malah memberi nasihat pada Selasa susulan polis menerima maklumat ada pihak rancang untuk menggunakan perhimpunan berkenaan sebagai platform berbaur hasutan.
Ini ditambah lagi penyebaran menerusi laman web Sabah Sarawak Keluar Malaysia membangkitkan sentimen provokasi rakyat Sarawak agar ‘keluar’ daripada kononnya dijajah zalim oleh kerajaan Persekutuan Malaysia.
Khalid dalam kenyataan semalam berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang mengingkari larangan itu walaupun keizinan awal yang diberi selaras ketetapan undang-undang.
Bagaimanapun polis menerima maklumat ada pihak yang merancang menggunakan perhimpunan itu sebagai platform untuk menghasut dan membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar daripada Persekutuan.
“Tindakan mereka ini nyata bercanggah Perlembagaan Malaysia dan polis tidak teragak-agak ambil tindakan undang-undang terhadap penganjur demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” tegas Khalid.
Perhimpunan anjuran Sarawak Dayak Iban Association (Sadia) dan Sarawak for Sarawak (S4S) Team itu dilapor diadakan sempena bagi meraikan kononnya tarikh kemerdekaan Sarawak daripada British pada 22 Julai 1963.
Ratusan peserta yang berpakaian baju-t-warna hitam bertulis ‘Sarawak for Sarawakians‘ kemudian berarak sejauh 1.5 kilometer ke Padang Rekreasi Song Kheng Khai dengan berjalan kaki dan menunggang basikal.
Tinjauan mendapati peserta turut bawa bendera negeri Sarawak serta pelbagai sepanduk bertulis bahasa Inggeris iaitu ‘peace’, ‘harmony’, ‘education autonomy’ dan ‘health care autonomy’. – Agensi