JOHOR BAHRU - Badan Perhubungan Umno Johor menyerahkan kepada polis
melakukan siasatan berhubung kekecohan pada majlis dihadiri beberapa
pemimpin DAP di Taman Megah Ria, di sini, semalam.
"Kita serahkan kepada polis. Biarlah mereka siasat perkara yang betul
atau tidak," kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kejadian mungkin berlaku disebabkan terdapat ucapan provokasi atau
sensitif yang dikeluarkan pemimpin parti pembangkang itu pada majlis
tersebut, katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Pusat
Pembangunan Usahawan (EDC) Johor di sini malam ini, apabila diminta
mengulas mengenai kekecohan itu.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, kekecohan yang
berlaku bukan diatur Umno, malah penganjur program itu juga sepatutnya
menjangkakan insiden sedemikian boleh terjadi kerana telah dihebah di
laman sosial yang pasti menarik ramai untuk datang.
Kelmarin, beberapa pemimpin DAP termasuk Anggota Parlimen Gelang Patah,
Lim Kit Siang yang menghadiri Program Forum Kedai Kopi DAP bersama
masyarakat Sabah dan Sarawak di sebuah kedai makan di Taman Megah Ria,
dihalau sekumpulan individu.
Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kumpulan berkenaan yang didakwa
penyokong Umno, mula menyerbu ke kedai tersebut ketika Pengerusi DAP
Johor, Liew Chin Tong membuat ucapan yang didakwa berbaur provokasi
seolah-olah menghina Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak. - Bernama