Islam Sebenarnya Raikan Industri Hiburan, Namun...

SECARA umumnya, Islam tidak menolak hiburan sama ada berbentuk lakonan atau nyanyian kerana ia ada kaitan dengan fitrah manusia.

Namun, perlu ada tapisan atau kawalan agar tidak melanggar nilai-nilai yang ditetapkan oleh syariat atau nilai-nilai ajaran Islam itu sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan ada antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang mengakibatkan boleh menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang yang akan beroleh azab yang menghinakan". (Luqman: 6)
Ini turut diakui sendiri oleh Mufti PerliS, Datuk Dr. Mohammed Asri Zainal Abidin ketika berucap dalam seminar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, baru-baru ini.

Seminar bertajuk, Nilai-Nilai Murni Dalam Filem & Drama Menurut Pandangan Islam itu turut menampilkan penulis skrip berpengalaman, Zabidi Mohamed sebagai panel.

Dr. Mohammed Asri menjelaskan penerimaan tersebut sejajar dengan sifat Islam itu sendiri sebagai agama universal dan bukannya, hak eksklusif satu bangsa atau kaum tertentu.

Dengan itu, tambahnya, apa-apa sahaja tafsiran tentang Islam yang bercanggah dengan elemen universal adalah salah, kerana pencipta alam itu adalah sama.

“Apabila pencipta alam dan universal sama, maka tidak mungkin ia boleh berlaku percanggahan,” katanya.

Berasaskan itu, Islam melihat hiburan, bukan hanya sekadar untuk keseronokan atau menggembirakan manusia tetapi ia juga sebagai satu saluran bagi menyampaikan mesej atau nilai murni demi manfaat manusia.

Malahan, hiburan yang diiktiraf oleh Islam pula tidak semestinya perlu ada imej fizikal atau elemen-elemen bercirikan Islam.

“Hiburan bukan sesuatu yang dipinggirkan oleh Islam dan tidak semua yang dipanggil keislaman itu perlu dimasukkan elemen Islam seperti berserban, memegang tasbih, sebut nama Islam dan lain-lain,” katanya.

Begitu pun, Dr. Mohamed Asri menegaskan, perlu ada kawalan atau tapisan oleh pihak berkuasa supaya tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.

Gambar Hiasan
Penegasan sedemikian juga penting kerana Islam mahu memastikan manfaat hiburan itu bukan hanya dapat dinikmati oleh generasi hari ini tetapi juga di masa depan.

“Rasulullah SAW sendiri meraikan hiburan tetapi jika ada yang melanggar sempadan agama, baginda menegurnya.

“Tetapi teguran baginda tersebut bukan bertujuan menghentikan terus hiburan itu tetapi memberi teguran pada bahagian yang salah sahaja,” katanya.

Patuh syariah

Tidak hairanlah dengan ketegasan Islam itu telah membawa kepada kewujudan elemen patuh syariah dalam hiburan, sama ada di bidang nyanyian, drama atau filem tempatan.

Matlamatnya untuk memastikan setiap karya seni itu tidak melanggar batasan atau sempadan yang ditetapkan oleh Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Namun, Zabidi yang sudah 18 tahun berkecimpung sebagai penulis skrip memberitahu beliau kurang bersetuju jika patuh syariah dijadikan tajuk utama dalam menonjolkan nilai-nilai murni yang selaras dengan kehendak Islam.

JAKIM menekankan tentang garis panduan hiburan dalam Islam yang perlu dipatuhi
Ini kerana, beliau menganggap bahawa patuh syariah itu perlu menjadi salah satu daripada elemen yang diperlukan bagi menonjolkan nilai-nilai murni itu dalam filem atau drama tempatan.

Selaras dengan itu, Zabidi menyenaraikan 12 elemen nilai-nilai murni yang beliau akan masukkan dalam setiap karya yang dihasilkannya.

Beliau berkata, 12 elemen itu adalah hasil daripada kajian dan pengalamannya sendiri sejak terlibat sebagai penulis skrip drama atau filem tempatan 18 tahun lalu.

“Elemen pertama adalah untuk mencerdikkan bangsa walaupun filem atau drama menggambarkan tentang kebodohan kerana saya mahu penonton menjadi cerdik selepas menonton filem atau drama yang saya hasilkan.

“Elemen kedua adalah menerapkan nilai-nilai positif seperti taat kepada ibu bapa, menghormati orang tua, guru dan lain-lain,” katanya.

Zabidi seterusnya menyatakan bahawa elemen ketiga adalah beliau akan mengelakkan untuk melahirkan karya-karya yang ada unsur syirik, tahayul dan khurafat.

Samalah dengan elemen keempat yang menyentuh soal sensitiviti agama, budaya dan kaum.

“Saya juga akan pasti ada nilai-nilai integriti, sama ada pada watak hero atau penjahat,” katanya.

Selain itu, Zabidi turut menolak penggunaan elemen hiburan melampau, kelucahan sama ada secara terang atau tersembunyi, cerita Israilliat, plagiat dan orang Islam tidak boleh melakonkan ajaran agama lain.

“Saya akan menjadikan filem atau drama saya bersifat universal iaitu mesejnya boleh diterima oleh semua bangsa dan agama.

“Elemen terakhir adalah soal patuh syariah dan saya bahagikan kepada tiga aspek iaitu akidah, akhlak dan syariahnya,” katanya.


Sumber: Utusan