Istilah "Bangsa Johor": TMJ Dakwa Ada Pihak Kurang Senang

Istilah "bangsa Johor"
ALOR SETAR - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kini kian terkenal dengan kelantangan dalam meluahkan pandangan, kini mendakwa ada pihak-pihak tertentu yang kurang senang dengan perpaduan rakyat Johor yang turut dikenali sebagai bangsa Johor.

Melalui akaun Facebook Johor Southern Tigers, baginda bertitah mendakwa ada pihak ingin melakukan provokasi tentang penggunaan istilah "bangsa Johor" dan mempertikaikan kenapa bukan bangsa Malaysia.

“Saya ingin mengingatkan Bangsa Johor untuk sentiasa bersatu. Ramai orang luar dan sesetengah pihak yang kurang senang melihat kita bersatu. Ada pula yang mahu buat provokasi dengan membuat kenyataan kenapa bukan Bangsa Malaysia.

“Ini adalah kerana dari zaman Atok Moyang saya kami Melayu, Cina dan India dikenali sebagai Bangsa Johor semenjak 1885, 72 tahun sebelum adanya negara bernama Malaysia,” tulis baginda.

Selain itu TMJ berkata, pihak lain boleh terus menggunakan istilah bangsa Malaysia tetapi rakyat Johor perlu sedar, tanah air yang dipijak merupakan hak milik mereka.

“Kami berbangga dengan sejarah kami. Kami tidak kacau mana-mana pihak. Ini adalah asal usul sejarah Kami. Jikalau anda nak bangga dan panggil diri anda Bangsa Malaysia atau 5 Malaysia teruskan.

“Ia bukan satu jenayah. Tetapi kepada Bangsa Johor, jangan kita lupa bahawa ini adalah negeri kami. Bumi dan Hak milik negeri ini adalah Hak anda semua,” titah TMJ lagi.

Baginda juga mengingatkan supaya rakyat Johor terus bersatu dan tidak terpengaruh dengan strategi ‘pecah dan perintah’ kerana kekuatan sesuatu bangsa itu terletak pada kesatuan.

“Janganlah anda terpengaruh dengan strategi ‘divide and conquer’ oleh mana-mana pihak. Ingatlah betapa kuatnya kita bila kita bersatu. Seperti mana nasihat dan motto negeri Johor, Muafakat itu Barkat. ALLAH Peliharakan Sultan. Johor mesti sentiasa jadi Johor,” jelas baginda.

Dakwaan tersebut dikeluarkan TMJ selepas kemelut antara banginda dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menemui titik noktah.

Ia berikutan tindakan TMJ enggan memanjangkan lagi kes berkenaan sebelum Nazri meminta maaf kepada baginda minggu lalu. -Kedahnews.com