Isu Low Yat: Ali Tinju Ditahan Bawah Akta Hasutan, Ucap Sentimen Perkauman

Ali Tinju
ALOR SETAR - Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Tinju’ dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa di bawah Akta Hasutan 1948 rentetan dari insiden kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat, baru-baru ini.

Difahamkan menerusi media, Ali Tinju yang juga merupakan seorang aktivis NGO telah ditahan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi tadi setelah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung insiden.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa turut mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Memetik laporan dari akhbar berbahasa Cina, China Press, Ali Tinju ditahan pihak polis kerana dikatakan telah membuat ucapan berbaur sentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad lalu.

Menerusi laman Facebooknya, Ali Tinju juga dikatakan telah memberi bayangan awal mengenai perkara berkenaan apabila memuat naik status berbunyi “Malam ini Ali Tinju tidur di rumah besi”.

Pada tahun 2012, Ali Tinju pernah menarik perhatian ramai apabila menganjurkan "senaman punggung" di luar rumah bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai tanda protes terhadap penganjuran Perhimpunan Bersih.


Selain itu, Ali Tinju yang merupakan penyelaras kumpulan Sekretariat Gabungan Sahabat 1Malaysia juga pernah menimbulkan kekecohan ketika berlangsungnya forum Nothing To Hide di Pusat Dagangan Dunia Putra, bulan lalu.

Dalam pada itu, polis sedang dalam usaha menahan blogger Papagomo, atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang dikatakan menyebar maklumat mengelirukan di media sosial berhubung insiden rusuhan di luar Plaza Low Yat pada Ahad. -Kedahnews.com