Isu Low Yat: Mufti Perlis Dakwa Punca Dari Ahli Politik, Seru Rakyat Lawan

Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
Tidak ketinggalan untuk campur tangan dalam insiden kekecohan di Plaza Low Yat, Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tampil menyeru rakyat supaya bangkit menentang ahli-ahli politik yang suka membangkitkan isu perkauman dalam negara.

Meskipun tidak berada di tempat kejadian dan bukan merupakan anggota penyiasat kes berkenaan, beliau mendakwa bahawa ahli-ahli politik adalah punca kepada rusuhan yang dilakukan ratusan orang Melayu di sekitar Plaza Low Yat malam kelmarin yang mencetuskan pergaduhan yang dikatakan serius.

"Untuk masa depan Malaysia, ahli-ahli politik yang suka menjadikan isu kaum dan agama sebagai senjata membangkitkan kebencian antara rakyat hendaklah ditentang oleh kita semua," tegasnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Selain itu, Mohd. Asri turut menegaskan bahawa insiden perkauman yang berlaku di Plaza Low Yat itu adalah bibit-bibit kesan dari sentimen perkauman yang dimainkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini.

Dakwanya, sentimen perkauman itu telah mula dibangkitkan atas kepentingan politik kepartian sejak pilihan raya umum yang lalu.

Mufti Perlis itu turut menuding jari pada beberapa NGO yang dikatakan telah memarakkan api kebencian di antara kaum terutama di dalam diri anak-anak muda di negara ini.

“Gendang yang sama turut dipalu oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Hasilnya api kebencian antara kaum mula semarak khususnya dalam jiwa anak-anak muda.

“Tangan-tangan siapakah gerangan’ yang cuba membangkitkan permusuhan kaum dan juga satu pihak lagi mereka yang cuba memperlihatkan sentimen anti agama tertentu khususnya Islam, bertanggungjawab terhadap perasaan kebencian antara kaum dan agama yang sudah mula subur,” katanya.