Isu Perkauman: Michael Ang Ingatkan "Mulut Puaka" Tentang 13 Mei 1969

Michael Ang 
Pengarah popular, Michael Ang menyifatkan isu-isu perkauman yang sering dibangkitkan di laman sosial satu propaganda yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Michael berpendapat, berdasarkan pengalamannya berkawan dengan pelbagai bangsa di negara ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah dan tiada isu pun yang dibangkitkan antara satu sama lain.

"Saya percaya, ramai yang sedar bahawa di dalam dunia realiti, kita masih lagi hidup dalam suasana muhibah.

"Malah saya sendiri mesra dengan rakan-rakan bangsa lain seperti Melayu dan India. Pelik apabila membaca laman sosial yang terlalu banyak menunjukkan isu-isu perkauman.

"Sedangkan pelbagai bangsa dalam negara ini masih lagi aman. Mungkin ia sekadar propaganda yang sengaja dibangkitkan," katanya kepada mStar Online.

Michael diminta mengulas mengenai isu-isu membabitkan perkauman yang dilihat semakin kritikal sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun pengarah drama bersiri M.A.I.D itu mengakui risau sekiranya pergaduhan kaum benar-benar berlaku seperti kejadian 13 Mei 1969.

"Saya tak nafikan ada juga individu tidak kira Melayu, Cina atau India yang mulut macam 'puaka', dan bagi golongan seperti itu, mereka layak untuk menetap di tempat lain.

"Jangan ganggu keharmonian negara kita. Di laman sosial sekarang, asalkan terdapat isu-isu negara atau masalah gejala sosial yang berbangkit, mesti nak kaitkan kaum itu dan ini.

"Saya harap, masalah itu tidak membawa kita kembali kepada kejadian 13 Mei 1969," ujarnya.

Sumber: mStar