Itu Bukan Babi Bersongkok, Itu Beruang Maskot, Jelas ServCorp

Sejak semalam lagi, laman-laman sosial di seluruh negara mula kecoh memperkatakan mengenai sebuah klip video yang memaparkan imej haiwan mirip babi ‘dipakaikan’ songkok dan samping yang tersebar secara meluas.

Bukan itu sahaja, yang menyebarkan dakwaan itu juga mendakwa di bawah imej haiwan tersebut tertulis kapsyen “Selamat Hari Raya”.

Imej berkenaan didakwa telah dipaparkan secara terbuka di lebih 20 billboard yang terletak di sekitar kawasan Bukit Bintang buat tontonan orang ramai.


Kalau dilihat sekali imbas, video tersebut tidak menampakkan dengan jelas imej babi kerana direkodkan pada jarak yang agak jauh. 

Namun apa yang pasti, ia memang memperlihatkan bentuk seekor haiwan memakai songkok dan sampin sambil tertera kapsyen ucapan hari raya.

Lantas itu, banyak pihak mendesak syarikat yang mengiklankan ucapan berkenaan, Servcorp memberi keterangan terbuka tentang rasionalnya haiwan tersebut digunakan sebagai ‘maskot’ yang memakai songkok dan sampin

Susulan itu juga, anggota polis bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah turun ke lokasi kejadian dan memeriksa sendiri papan iklan elektronik berkenaan jam 9.30 pagi tadi (Ahad).

Hasil seliaan di 28 billboard bermula di Jalan Raja Chulan sehingga mengelilingi pusat membeli-belah Pavilion, pihak polis akhirnya mengesahkan imej berkenaan merupakan "seekor beruang" yang juga maskot bagi syarikat Servcorp yang berpengkalan di Australia.

Menurut informasi, syarikat OOHM International Holdings Sdn Bhd telah diberikan tender iklan billboard tersebut dan dikatakan telah mendapat kelulusan DBKL untuk dipasang.

Dalam laporan terkini, media difahamkan pihak DBKL telah pun mengarahkan syarikat berkenaan untuk menarik kembali iklan tersebut kerana dibuat tanpa kebenaran. - Kedahnews.com