Datuk Seri Mohamad Hasan |
SEREMBAN – Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan suaranya terkandung dalam rakaman audio yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohamad berkata beliau tidak ada kena mengena dengan rakaman audio itu dan pengakuan yang dibuat oleh individu dalam rakaman itu.
“Buktinya ada penipuan fakta dimuatkan dalam rakaman berkenaan terutamanya latar belakang bapa individu itu adalah guru sedangkan Allahyarham ayahanda saya bukan guru,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.
Mohamad berkata pihak yang membuat dakwaan itu sememangnya berniat jahat terhadap beliau selain cuba mengelirukan rakyat serta mahu melaga-lagakannya dengan pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO dan kerajaan.
“Saya menggesa semua pihak supaya tidak mudah percaya dengan pembohongan dan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap saya,” katanya. – BERNAMA