POKOK SENA – Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bercadang menjadikan
tanah perkuburan Kampung Tualang, yang menempatkan jenazah mangsa
pemerdagangan manusia sebagai tanah perkuburan bersepadu pada masa
depan.
Pengarahnya Datuk Noh Dahya berkata, ia bakal menyerupai Tanah
Perkuburan Bersepadu Sungai Petani Timur dan Tanah Perkuburan Bersepadu
Sungai Petani Barat yang dijaga secara sistematik, berlandskap dan
mengguna pakai teknologi moden.
Melalui konsep tersebut katanya, waris boleh merujuk kepada maklumat
simati dengan merujuk pangkalan data yang tersedia dan lebih sistematik.
“Kita bercadang mengguna teknologi moden, boleh tempah tanah
perkuburan dan maklumat tentang waris boleh merujuk kepada pangkalan
data jadi dia boleh cari kubur moyang dia dan sebagainya,” katanya
kepada pemberita hari ini.
Bagaimanapun menurut Noh, setakat ini fokus utama pihaknya adalah
meletakkan batu nisan kepada semua perkuburan jenazah pemerdagangan
manusia di Kampung Tualang itu.
Jabatan Kerja Raya katanya juga merancang untuk memagar tanah perkuburan itu.
Penyelenggaraan tanah perkuburan seluas 5.76 hektar itu akan
diputuskan bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) katanya,
memandangkan tapak perkuburan itu sekarang telah menjadi perkuburan
antarabangsa.
“Ia (tapak perkuburan) pada asalnya merupakan tanah perkuburan untuk
penduduk Kampung Tualang sahaja, kita pun hendak ucap terima kasih
kepada penduduk kampung ini, dengan pengorbanan mereka kita dapat
sempurnakan pengebumian jenazah di sini,” katanya sambil menambah tanah
perkuburan tersebut juga boleh dijadikan tempat pengebumian untuk
jenazah tanpa waris.
Mengulas bagaimana proses untuk menandakan kubur dengan batu nisan,
beliau berkata ia dilakukan mengikut nombor siri yang dikeluarkan oleh
MKN selepas selesai ujian forensik.
“Pihak keselamatan guna ‘coding label’ nombor siri sebab tidak ada
dokumen, jadi kes mangsa etnik Rohingya ini tidak miliki apa-apa dokumen
yang boleh dijadikan rujukan, jadi kita ambil berdasarkan keputusan
forensik sementara itu,” katanya. – BERNAMA