Keadaan jalan rosak di sekitar Taman Ambar Ogos tahun lalu. |
ALOR SETAR - Keadaan jalan yang berlubang dan rosak di kawasan Derga, dekat sini mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna di kawasan itu.
Adun Derga, Tan Kok Yew berkata, beberapa laluan yang didapati berlubang termasuklah di Lorong Tiong, Lorong Titi Siam, Taman Nuri, Taman Intan, Lorong Shariff/Taman Merbok dan Lorong Seri.
"Difahamkan, pengguna menggunakan Lorong Tiong sebagai jalan utama keluar masuk ke Taman Ambar.
"Bagaimanapun lorong kecil berkenaan dikhuatiri tidak mampu menampung bilangan kenderaan yang meningkat sekali gus mendatangkan kerosakan sehingga jalan bertakung setiap kali hujan," katanya.
Menurutnya, pihaknya bimbang keadaan berkenaan membahayakan keselamatan pengguna, malah turut mencetuskan ketidakselesaan kepada mereka.
"Saya berharap kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera memandangkan keadaan laluan sedemikian menyukarkan penduduk yang menjadikan laluan itu jalan utama," katanya.
Kok Yew berkata, keadaan kerosakan sedemikian bukannya baru berlaku, sebaliknya isu jalan rosak berkenaan sudah lama dan masih tidak pulih sepenuhnya.
"Kira-kira RM178 juta diperuntukkan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (Marris) untuk membaiki dan memelihara jalan-jalan di Kedah.
"Dianggarkan antara RM12 juta hingga RM17 juta peruntukan berkenaan diperuntukkan untuk membaiki kerosakan jalan di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS)," katanya.
Untuk itu katanya, dia mengharapkan peruntukan kewangan berkenaan digunakan untuk memulihkan beberapa laluan rosak teruk sebegini segera dalam usaha mencapai Bandar Metropolitan seperti diimpikan.
Sumber: Sinar Harian