Pengarah Eksekutif CCT, Creative Trainers (M) Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Al Qubra |
“Kalau orang tonton rancangan tersebut dari awal, mereka akan faham
apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya. Bila mereka potong video
program itu dan viralkan, itu yang menyebabkan orang-orang awam marah.
“Tajuk segmen yang diberikan kepada saya adalah ‘Celik Kewangan: Gaji
Oh Gaji!’ Saya hanya mengupas tajuk yang diberikan berdasarkan
statistik yang diajukan kepada saya. Sebenarnya begini, apa yang saya
jelaskan menerusi program tersebut adalah beban yang terpaksa ditanggung
oleh sesetengah individu hanya untuk pulang beraya ke kampung,”
jelasnya ketika dihubungi Sinar Online, semalam.
Katanya lagi, mengikut statistik yang diajukan pengacara rancangan
program, Tazneem Faizal, Syed Abdul Aziz berkata, 53 peratus wanita
ingin mendapatkan barang kemas baharu sempena Aidilfitri, 23 peratus
rakyat Malaysia ingin berkahwin lagi sempena menyambut Syawal, 18
peratus individu atau pasangan akan membelanjakan wang untuk membeli
kelengkapan dan perabot baharu manakala lapan peratus lagi berkeinginan
untuk membeli kereta baharu di musim perayaan ini.
“Saya hanya menjawab soalan yang diberikan oleh pengacara program.
Saya cuma mahu bantu rakyat dari segi perancangan ekonomi. Kalaulah
balik kampung itu dirancang dari awal, tidaklah ada masalah buat
mereka,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan ‘jangan balik kampung jika mahu jimatkan minyak dan tol’ yang kini viral di media sosial, beliau berkata, ia merupakan salah faham besar oleh majoriti rakyat negara ini.
“Mengikut statistik trend balik kampung sekarang, hampir 53 peratus
wanita akan membeli barang kemas hanya kerana tidak mahu ditegur oleh
ibu mertua atau saudara-mara kerana memakai barang kemas tahun lepas.
"Maka dibelanjakan wang itu untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita
semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua
pihak khusus golongan berekonomi sederhana dan rendah.
“Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya
sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi
sesetengah individu.
"Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak
dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu,
saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat
dijimatkan. Itulah penjelasan sebenar saya,” jelasnya lagi.
Terdahulu, video (di bawah) yang merakam Syed Abdul Aziz menyarankan
rakyat Malaysia supaya tidak pulang ke kampung untuk menjimatkan tol dan
minyak menjadi viral di media sosial.
Rakaman video yang dipetik menerusi sebuah rancangan bual bicara
tersebut mendapat perhatian dan kritikan rata-rata pengguna laman
sosial.
Syed Abdul Aziz dalam pada itu tidak menolak peratusan individu yang terpaksa membuat hutang hanya untuk pulang ke kampung.
“Kita semua tahu pulang ke kampung memerlukan belanja yang besar.
Kalau balik masa tengah tidak ada duit atau gaji belum masuk, itu lebih
susah.
“Sekarang ini, setiap hari kira-kira 56 individu di negara ini
diisytiharkan muflis. Saya tidak mahu anda salah seorang daripada
individu yang diisytiharkan muflis,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian