Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. |
KUANTAN – Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan terus memain peranan
untuk membantu kerajaan menjelaskan tentang isu-isu yang sering
diputarbelitkan dalam media sosial, kata Ketua Pengarah JASA Datuk Dr
Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat
yang benar dan tepat sekaligus mengelakkan kekeliruan terutama dalam
situasi kerajaan berdepan dengan pelbagai tohmahan pada masa kini.
“Walaupun kerajaan ditohmah tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak tetap mampu memimpin negara untuk menjadi negara maju
menjelang 2020.
“Apabila semakan menaik Fitch Ratings ke atas unjuran Malaysia
daripada negatif kepada stabil, ia jelas sekali telah menjawab tohmahan
yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang mendakwa keadaan ekonomi
Malaysia berada dalam keadaan gawat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian
sumbangan kepada anak-anak yatim dari sekitar daerah Kuantan di sini
hari ini.
Katanya JASA akan terus memain peranan untuk membantu menjawab segala
tohmahan itu bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda untuk membela
rakyat.
Mohd Puad berkata kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib
sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan rakyat dan untuk membela
dan membantu mereka.
“Kerajaan bukan sahaja bantu dari segi wang ringgit menerusi BR1M
(Bantuan Rakyat 1Malaysia), tetapi juga menyediakan kemudahan kredit
yang disalurkan melalui agensi seperti Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga) bagi membolehkan rakyat meningkatkan taraf ekonomi mereka
dengan berniaga,” katanya. – BERNAMA