Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin bukan satu habuan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk negara dan seluruh bangsa di Malaysia.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata pelantikannya yang berkuat kuasa esok adalah bukti jelas tentang kebersamaan antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah lama terjalin.
“Pemikulan tanggungjawab ini tidak dapat saya elakkan, ia mengulangi sejarah lama apabila Najib yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan melantik saya sebagai Setiausaha Politik.
“…kemudian saya mengikut Najib sebagai Setiausaha Politik apabila beliau dilantik sehingga menjadi Menteri Pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang masih mengekalkan portfolio Menteri Dalam Negeri berkata :”Saya tak pernah menjangkakan dan membayangkan (pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri) tetapi Allah Taala yang menentukannya. Saya terima ini sebagai Qada dan Qadar”.
Ahmad Zahid juga meminta semua anggota Kabinet, Anggota Majlis Tertinggi UMNO serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya terus memberi sokongan padu kepada Najib.
Rombakan Kabinet itu menyaksikan lima menteri digugurkan dan tujuh orang dilantik sebagai menteri baharu.
Di BAGAN DATOH, masyarakat pelbagai kaum di kawasan Parlimen Bagan Datoh teruja dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu.
Ahmad Zahid, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama berasal dari Perak.
Bekas rakan sekolahnya Omar Saffian, 65, berkata beliau mengenali Ahmad Zahid sejak berusia 12 tahun ketika mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah Darat di sini.
“Pada ketika itu, Datuk Seri berada di Darjah Empat manakala saya di Darjah Enam. Kami sama-sama berjalan kaki ke sekolah setiap hari,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
Omar yang bekerja sebagai pekebun kelapa, menyifatkan kepimpinan Ahmad Zahid terserlah sejak di bangku sekolah lagi.
“Datuk Seri merupakan pelajar yang pandai dan mesra dengan rakan-rakan sekolahnya. Saya berasa amat bangga bekas rakan sekolah menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh Khairuddin Termizi berkata seluruh anggota UMNO bahagian itu bersyukur dengan pelantikan Ahmad Zahid dalam Kabinet pimpinan Najib.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada rakyat Bagan Datoh dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan (kepada Ahmad Zahid) dan ini merupakan amanah memikul tanggungjawab yang berat,” katanya.
Beliau berkata satu majlis kesyukuran akan diadakan oleh UMNO Bahagian Bagan Datoh bagi meraikan pelantikan Ahmad Zahid dalam masa terdekat.
Pengerusi Gerakan Bahagian Bagan Datoh Tan Siak Koy berkata masyarakat Cina di kawasan itu memberi sokongan padu kepada Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Dengan pelantikan itu, kami berharap beliau akan memberi tumpuan kepada nasib masyarakat Cina yang majoritinya bekerja sebagai nelayan di Bagan Datoh,” katanya.
Pengerusi MIC Bahagian Bagan Datoh R. Subramaniam pula berkata pengundi India kawasan itu berdiri teguh di belakang Ahmad Zahid yang sentiasa memberi perhatian dan mendengar permasalahan masyarakat India di sini. – BERNAMA