SHAH ALAM - Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) dilaporkan akan menerajui
sendiri usaha penubuhan sebuah parti Islam yang baru sekiranya kumpulan
yang menggelarkan diri mereka G18 gagal untuk merealisasikan perkara
itu.
Memetik laporan sebuah portal, Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd
Zawawi berkata, pihaknya akan menyokong parti yang ditubuhkan oleh G18.
Bagaimanapun, katanya, jika ia tidak menjadi kenyataan, PasMa sendiri akan berusaha menubuhkan sebuah parti baru.
"Sekiranya G18 tak tubuh parti, kita (PasMa) akan ambil inisiatif, kita akan teruskan tanggungjawab (menubuhkan parti baru).
"Tapi buat masa ini, ada pihak (G18) nak tubuhkan parti, maka kita bagi laluan," ujarnya.
Menurut Phahrolrazi, usaha menubuhkan parti baharu itu memerlukan kerjasama banyak pihak dan tidak boleh secara bersendirian.
“Kita ni NGO penyokong, apa saja keperluan kita terus sokong,” katanya.
G18, sebuah kumpulan yang dianggotai oleh bekas pimpinan PAS yang tewas
dalam pemilihan baru-baru ini membayangkan akan menubuhkan parti baharu
bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0.
Sumber: Sinar Harian