Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dengan kekuatan 850,000 sukarelawan kini, bersedia melaksanakan peranan sebagai barisan hadapan dalam mengendalikan pengurusan bencana alam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Katanya setelah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dan diangkat menjadi agensi tunggak dalam pengendalian pengurusan bencana, JPAM turut beralih menjadi barisan hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab berbanding penglibatan sebelum ini di barisan belakang dalam pertolongan kecemasan dan bencana.
Pemindahan JPAM yang sebelum ini di bawah Kementerian Dalam Negeri diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam negeri semalam, antara lain bertujuan memantapkan usaha kerajaan dalam soal pengurusan bencana.
“JPAM berupaya memainkan tanggungjawab lebih besar dalam menggerakkan pertolongan semasa sesuatu bencana berlaku,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis jamuan hari raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini Khamis.
Hadir sama Ketua Pengarah APMM Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Datuk Ahmad Fuzi Ab Kahar dan Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samad.
Shahidan berkata kemahiran sukarelawan JPAM akan terus dimantapkan dan kini mereka berpeluang menerima latihan tambahan seperti kemahiran di darat, udara dan laut melalui kemudahan dimiliki APMM.
Dalam menjadikan peranan sukarelawan lebih berkesan dan menyeluruh, beliau berpandangan keanggotaannya harus dipertingkatkan kepada 10 peratus daripada nisbah keseluruhan penduduk negara ini.
Katanya polisi berhubung pemindahan jabatan itu juga akan diperincikan selepas mengadakan perbincangan bersama Ahmad Zahid kelak. – BERNAMA