Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan adanya lelongan ‘luar biasa’ melibatkan 51 kenderaan pelbagai jenama di Pejabat JPJ Negeri Perak Rabu ini.
Maklumat berkaitan lelongan itu yang melibatkan penjualan kereta import baharu pada harga yang begitu murah mula tersebar di media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam.
Jurucakap JPJ berkata maklumat jumlah dan jenis kenderaan yang disebarkan adalah tidak benar sebaliknya JPJ Perak hanya membuat lelongan terhadap 26 motosikal dan 11 kereta seperti yang disiarkan dalam akhbar utama tempatan sebelum ini.
“JPJ menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang maklumat berkaitan jabatan ini yang diperolehi menerusi media sosial dan aplikasi Whatsapp,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya JPJ juga menasihati orang ramai agar membuat pengesahan tentang maklumat yang mereka terima dengan jabatan itu terlebih dahulu. – BERNAMA