Sarjakhan (dua, kiri) menunjukkan surat didakwa mengandungi bukti dan dokumen berkaitan individu terbabit soal jual sewa tapak |
Difahamkan, masih ada individu tertentu dipercayai cuba mengambil kesempatan memperoleh keuntungan atas angin dengan menjual tapak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, mereka tidak berputus asa mendedahkan kegiatan itu.
“Pihak Ikhlas tidak mendedahkan kegiatan jual sewa tapak bazar berkaitan sebelum Ramadan memandangkan proses jual tapak belum berlaku ketika itu.
“Kini, kami memiliki bukti dan maklumat terperinci berkaitan individu terlibat dalam jual sewa bazar di pertengahan bulan puasa ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ikhlas, di sini, semalam.
Antara tapak bazar dikhuatiri terbabit dalam soal jual sewa berlipat ganda adalah sekitar hadapan Banggunan Umno dan Uptown Stadium Darul Aman, di sini.
Bayangkan katanya, masalah tapak sewa mahal hingga mencecah RM5,000 sekali gus menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan jualan mereka.
"Ada peniaga didakwa memperoleh maklumat tender kepada individu tertentu sehingga menyebabkan kegiatan sebegini berterusan," katanya.
Oleh demikian katanya, pihak mereka menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh segera demi menangani isu tersebut.
"Isu jual sewa tapak bazar didakwa dijual berlipat ganda terhadap peniaga tidak lagi berlaku, sebaliknya ia menurun pada tahun depan," katanya.
Dalam perkembangan sama katanya, dia memohon kerajaan negeri supaya dapat meletakkan harga standard bagi semua tapak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihak berkenaan diminta mengemukakan bukti sekiranya memiliki maklumat berkaitan individu yang terlibat.
Tahun lalu, Sinar Harian turut mendedahkan harga sewaan tapak bazar Ramadan di bandar Alor Setar melambung tinggi mencecah RM13,000 bagi setiap tapak terlibat.
Difahamkan, isu timbul apabila ada peniaga memohon beberapa tapak bazar Ramadan menggunakan nama yang berbeza sebelum menjual pada harga lebih tinggi.
Sumber: Sinar Harian