Kanak-kanak diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah sebelum anggota badan mereka dipotong dan mayat mangsa yang dalam keadaan mengerikan dicampak di dalam hutan.
Itulah kisah menakutkan yang menghantui kanak-kanak di Uganda akibat kepercayaan karut sebilangan penduduk di negara itu.
Setiap tahun ratusan kanak-kanak di Uganda menjadi mangsa bomoh yang mempengaruhi golongan elit bahawa dengan mengorbankan kanak-kanak akan menjadikan mereka lebih kaya.
Lebih mengejutkan lagi, jenayah kejam ini dijangka akan meningkat menjelang pilihan raya Uganda yang dijadualkan berlangsung pada 2016.
Satu pertubuhan kebajikan kanak-kanak memberitahu, ahli perniagaan kaya sanggup membayar ribuan pound kepada pengamal perubatan tradisional untuk memburu kanak-kanak miskin.
BOMOH dibayar ribuan pound oleh ahli perniagaan untuk menculik kanak-kanak bagi dijadikan korban. |
Anggota badan kanak-kanak yang diculik ini kemudiannya dipotong untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit mati pucuk dan meningkatkan kesuburan.
Bomoh akan memotong beberapa bahagian anggota badan termasuk kemaluan mangsa.
Mayat yang sudah dikerat kemudian dibuang di hutan ataupun tapak pembinaan.
Lebih kejam lagi apabila anggota badan kanak-kanak yang dipotong itu bukan untuk ubat tetapi dipersembahkan kepada roh yang mengarahkan bomoh melakukan kekejaman berkenaan.
Bagi mengatasi kekejaman itu, kerajaan Uganda pada Februari lalu, mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menghentikan pembunuhan terhadap kanak-kanak.
Kerajaan juga meluluskan rang undang-undang bagi mendaftarkan semua pengamal perubatan tradisional.
ALLAN Ssembatya bernasib baik kerana ditemui masih bernyawa walaupun kemaluan dan kepalanya dicederakan bomoh. |
Namun, ahli perniagaan yang membayar ribuan pound untuk ritual kejam berkenaan jarang dikenakan tindakan kerana keengganan bomoh mendedahkan identiti mereka.
Kanak-kanak yang terselamat tetapi mengalami kecederaan teruk pada badan biasanya terpaksa menanggung kecacatan sepanjang hayat.
Kerajaan memberi amaran amalan mengorbankan kanak-kanak sukar dihentikan selagi penduduk negara itu mempercayai kepercayaan karut.
Bagaimanapun, beberapa aktivis kanak-kanak mendakwa pembunuhan kejam itu akan berterusan kerana ia didorong oleh ketamakan.
Sumber: myMetro