KOTA BAHARU – Kanak-kanak perempuan lima tahun yang cedera serius
dipercayai didera, semakin menunjukkan perkembangan positif dari segi
tahap kesihatannya.
Ibu saudara kanak-kanak itu berkata anak saudaranya itu yang
menjalani pembedahan usus semalam hari ini sudah mula bercakap dengan
ibunya.
“Dia dah mula bercakap, dia ada cakap ingin makan dan berjalan-jalan
serta ingin berjumpa sepupunya yang lain. Kami ucap terima kasih kepada
pihak hospital.
“Dia semakin sihat, cuma kesan daripada pembedahan usus semalam dia
tidak boleh makan lagi. Kita doakan dia kembali sihat seperti sedia
kala,” kata wanita berumur 32 tahun itu kepada pemberita ketika ditemui
di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, pada Selasa.
Katanya anggota keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa
berhubung tindakan terhadap ibu tiri serta bapa kanak-kanak itu yang
dipercayai menderanya.
“Anggota keluarga tidak mahu masuk campur, kami serah kepada pihak berkuasa yang lebih arif dengan undang-undang,” katanya.
Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya dalam keadaan wajahnya
cengkung manakala seluruh badannya didapati lebam dan dipenuhi parut,
sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam
keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta
paha.
Kanak-kanak itu kini ditempatkan di HRPZII untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak berusia 39 dan 25 tahun yang
menjaga kanak-kanak itu sebelum ini telah ditahan reman oleh polis
selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. – BERNAMA