Gambar Hiasan |
Jasin - Keadaan kanak-kanak lelaki yang cedera kedua-dua belah paha akibat diserang anjing di Taman Kesang Damai, Jasin, Sabtu lalu, kini stabil selepas dimasukkan ke Hospital Melaka pada hari kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Muhammad Aiman Shah Iskandar Saiful berusia setahun tujuh bulan, dikatakan sedang bermain di luar pagar rumahnya.
Sumber berkata, ketika itu pemilik anjing berkenaan membawa haiwan berkenaan keluar untuk bersiar-siar.
"Namun anjing itu dipercayai terlepas dan menerkam mangsa dan mengheret kanak-kanak itu sejauh 10 meter.
"Tindakan pantas pemilik haiwan itu yang membantu melepaskan gigitan anjingnya pada mangsa menyelamatkan kanak-kanak terbabit daripada mengalami kecederaan lebih parah," katanya.
Akibat kejadian itu mangsa mengalami luka akibat gigitan yang serius pada paha kiri dan kanan tetapi kini dilaporkan stabil dirawat di wad kanak-kanak Hospital Melaka.
Sumber: myMetro.