Kawad Kaki: Polimas Jitra Tewaskan 13 Pasukan Polimas Lain

Pasukan Polimas bergambar kenangan selepas menamatkan latihan ketenteraan, baru-baru ini.
ALOR SETAR – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) berjaya menewaskan 13 politeknik lain dalam acara kawad kaki, baru-baru ini.

Menerusi program tahunan Kem Latihan Askar Wataniah Politeknik Semalaysia (MalPTACC) 2015 yang berlangsung di Behrang telah membolehkan Polimas merangkul tempat keempat.
 
Acara kawad kaki adalah tidak asing lagi bagi Polimas kerana pernah mendapat tempat kedua pada tahun lalu.

Walaupun keputusan tersebut sedikit mengecewakan, namun semangat yang ditunjukkan 35 pelajar Polimas dalam pertandingan itu amat membanggakan.

Difahamkan, latihan ketenteraan itu telah berlangsung selama 15 hari bermula 1 Jun lalu melibatkan pelbagai aktiviti lasak, ketahanan mental, memupuk disiplin diri serta semangat setia kawan.

Salah seorang peserta, Shafina Ibrahim, 24, berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang program tersebut disifatkan sangat berharga.

“Saya memang amat meminati aktiviti pasukan beruniform kerana ia mampu membentuk disiplin diri dan mendidik kita dalam pengurusan masa.

“Menerusi program ini juga banyak yang telah saya pelajari seperti menyiapkan diri dalam aspek fizikal dan metal,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Zaki Muhammad, 24, pula menyifatkan penyertaannya dalam pasukan itu telah membantu mengubah dirinya lebih berdisiplin dan terurus.

“Selain mendapat sokongan saudara terdekat, rakan sepasukan juga sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain dalam setiap acara yang kami sertai,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian