KDN Kemuka Tiga Sebab Gantung Permit The Edge


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Sabtu menjelaskan tiga sebab penggantungan permit penerbitan akhbar harian The Edge dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan bermula 27 Julai ini.

Pertama: Tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan dua akhbar terbitan Kumpulan Media The Edge itu menimbulkan persoalan dan persepsi negatif masyarakat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Kedua: Laporan diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh atau mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Ketiga: Isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepimpinan negara.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dalam kenyataan berkata, penggantungan itu dibuat selepas KDN meneliti laporan berkaitan 1MDB dalam kedua-dua penerbitan tersebut dan jawapan surat tunjuk sebab yang telah dikemukakan oleh Kumpulan Media The Edge.

“Kedua-dua penerbitan berbahasa Inggeris itu didapati mengandungi hasil penerbitan yang melanggar syarat penerbitan mengikut Seksyen 7 (1) di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

“Ini kerana ia mengandungi hasil penerbitan yang memudarat atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara,” katanya.

Alwi berkata, pihak media tersebut sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam menapis sebarang laporan yang bakal diterbitkan mereka selaras dengan kebebasan yang diberi selama ini.

“Impak laporan yang tidak bertanggungjawab perlu diperhalusi kesannya kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara serta tidak bersalahan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012),” katanya.

Penerbitan di Malaysia juga perlu dilaksana tertakluk mengikut syarat peraturan permit penerbitan yang berkuat kuasa, kata Alwi lagi.  -Kedahnews,com