ALOR SETAR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan negara
sedang berhadapan dengan ancaman pihak tertentu yang cuba melemahkan keyakinan
terhadap ekonomi dan kerajaan Malaysia sejak sebulan lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa usaha itu
dilakukan hanya dengan menggunakan data yang dicuri oleh seorang
individu yang telah pun ditahan bagi cubaan memeras ugut.
“Pelbagai laporan media didapati memetik data dokumen tidak disahkan
itu. Adakah ia sahih ? Adakah ia wujud ? Siapakah para penyiasat yang
kononnya tidak dinamakan mengesan pergerakan wang itu?
“Firma keselamatan siber antarabangsa Protection Group International
(PGI) yang mengesahkan kecurian itu memberitahu maklumat yang
diterbitkan berdasarkan data itu dianggap tidak selamat dan tidak boleh
dipercayai.
“Kelihatan ada usaha untuk melemahkan keyakinan terhadap ekonomi
Malaysia dan kerajaannya yang dipilih secara demoktratik (menggunakan
data palsu). Ini boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara,”
katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Justeru itu katanya, dakwaan dan sindiran yang dilakukan ke atas Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berasakan sumber itu adalah
kewartawanan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan kesalahan jenayah
tanpa sempadan.
Sehubungan itu, katanya, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak
akan teragak-agak untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan
undang-undangan yang ada bagi menentang mereka yang cuba memudaratkan
ekonomi Malaysia dan proses demokrasi negara ini.
Baru-baru ini, beberapa pihak dalam negara menggesa pihak berkuasa
mendakwa organisasi media seperti The Edge dan portal propembangkang,
The Malaysian Insider (TMI) kerana menyiarkan berita bersifat fitnah
tentang syarikat pelaburan strategik negara 1MDB dengan menggunakan
dokumen palsu itu.
Mereka mahu tindakan tegas diambil kerana siasatan PGI menunjukkan
dokumen yang didedahkan oleh media terbabit berkaitan IMDB telah diubah
dan terbukti tidak boleh dipercayai.
Ia berikutan kejayaan polis Thailand menahan seorang bekas pegawai
PetroSaudi, Xavier Andre Justo, 49, atas tuduhan cuba memeras ugut
syarikat berkenaan yang pernah menjalin kerjasama dengan 1MDB.
Siasatan polis Thailand mendapati Justo berdendam dengan bekas
majikannya kerana tidak mendapat wang berjumlah RM15 juta daripada
PetroSaudi.
Dia bertindak membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian
maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.
Bagaimanapun wartawan propembangkang mengambil kesempatan menggunakan
maklumat itu sebagai laporan berita untuk memburuk-burukkan kerajaan
dan Perdana Menteri. -Kedahnews.com