Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah |
ALOR SETAR - Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah menggesa pengguna supaya melaporkan kepada pihak penguatkuasa sekiranya terbeli barangan tiruan yang dijual di pasaran.
Kata beliau, sekiranya para pengguna mengadu pada pihaknya, penguatkuasa KPDNKK akan bertindak pergi ke premis perniagaan yang menjual barangan tiruan tersebut bersama pengadu bagi tujuan siasatan secara terperinci bagi tindakan susulan.
Pada masa yang sama, para pengguna turut berpeluang untuk mendapat kembali ganti rugi dari penipuan tersebut melalui aduan kepada Tribunal Pengguna di bawah seliaan kementerian beliau.
"Dia boleh buat aduan pada kita, supaya kita boleh buat serbuan di situ bersama dengan dia (pengadu).
"Kalau pengguna ditipu sebegitu, lebih baik adukan kepada kita dan kita akan pergi ke tempat itu (premis perniagaan) itu tanpa memberitahu padanya (peniaga).. kita serbu.. satu kedai itu kita boleh geledah dengan information (maklumat) yang dia beri pada kita.
"Pengguna juga dalam masa yang sama boleh buat aduan kepada kita punya tribunal (Tribunal Pengguna) untuk mendapatkan kembali duit ganti rugi dari penipuan pembelian itu.. kita tuntut melalui tribunal," jelas Ahmad Bashah kepada Kedahnews.com sebentar tadi.
Justeru itu katanya, pihak pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan kembali ganti rugi dari penipuan peniaga tersebut, manakala pihak pengutkuasa KPDNKK turut bertindak membasmi perniagaan barangan tiruan yang berleluasa di negara ini.
Mengulas mengenai insiden kekecohan di Plaza Low Yat baru-baru ini, beliau yakin bahawa pihaknya berkemungkinan besar tidak akan menjumpai apa-apa barangan tiruan di plaza berkenaan, apatah lagi selepas berlaku insiden tersebut.
"Sekarang ini kalau kita pergi geledah, mungkin sudah tidak ada barang-barang tiruan tu.. Dalam Low Yat tu sudah tidak ada apa dah (barangan tiruan).. semua ori (original)," katanya.
Kerana itulah katanya, aduan dari para pengguna adalah sangat penting bagi pihaknya untuk bertindak terhadap peniaga yang sebelum ini dikatakan menjual barangan tidak original pada pelanggan.
Tegas beliau, adalah tidak adil untuk menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan tugas dan memaki hamun mereka dengan kata-kata kesat tanpa sebarang bukti aduan yang meyakinkan dari pengguna sendiri.
Ahmad Bashah berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sentuhan Kasih Ramadhan dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kepada Anak-Anak Yatim Parlimen Alor Setar yang dianjurkan oleh NGO, Perdana Global Peace Foundation (PGPF), di sini, sebentar tadi.
Turut hadir bersama ialah Presiden PGPF, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan, meraikan 70 orang anak-anak yatim berusia di bawah 12 tahun dari 54 buah kampung yang terdapat di sekitar Parlimen Alor Setar.
Anak-anak yatim dirai dengan juadah istimewa di sebuah restoran eksklusif, Thai Palace. |
Sebelum majlis bermula, pihak penganjur turut menyajikan tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh tokoh pendakwah muda Kedah, Ustaz Shuhaimi Shoib.
Anak-Anak yatim dari sekitar Alor Setar turut menerima sumbangan dari PGPF berupa "angpau" Aidilfitri dan barangan saguhati sebelum diraikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa di restoran eksklusif, Thai Palace, di Jalan Stadium. -Kedahnews.com