Kecoh: Cawan, Mangkuk "Berterbangan" Di Majlis Lim Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
Sebuah majlis perjumpaan bersama DAP yang diadakan di sebuah kedai kopi di Masai, Johor baru-baru ini bertukar kecoh apabila diserang sekumpulan orang yang mahu menghalang Penasihat DAP, Lim Kit Siang berucap di majlis berkenaan.

Sejurus selepas acara bermula kira-kira jam 2 petang, kira-kira 50 orang menyerbu masuk ke premis berkenaan dan mula membaling beberapa objek, termasuk cawan, mangkuk plastik dan penyapu ke arah Penasihat DAP itu.

Saksi berkata, Kit Siang dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut, tetapi nasib tidak begitu baik bagi beberapa individu yang melindungi Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Memetik laporan Malaysiakini, kumpulan yang menyerbu kedai itu juga menjerit pelbagai kata-kata, seperti "balik Kit Siang", "babi", "komunis" dan "mampus".

Difahamkan juga bahawa ada beberapa anggota polis di tempat kejadian, namun mereka dikatakan gagal mengawal keadaan itu.

Menurut sumber lagi, kekecohan di majlis berkenaan hanya berakhir kira-kira 30 minit kemudian selepas penganjur majlis mengiringi Kit Siang meninggalkan lokasi program anjuran DAP tersebut.

Turut difahamkan juga bahawa majlis itu pada asalnya merupakan sebuah program sesi dialog DAP dengan komuniti Sabah dan Sarawak di negeri Johor.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang turut hadir di lokasi dikatakan cuba menuding jari menyalahkan UMNO bagi insiden itu.

Chin Tong mendakwa dia mengenali sebahagian daripada pihak yang menimbulkan kekecohan berkenaan dan menuduh pemimpin UMNO Pasir Gudang terlibat dalam insiden tersebut. -Kedahnews.com