Kecoh Di Low Yat: Lebih 100 Orang Berkumpul, 3 Lelaki Cedera

KUALA LUMPUR - Dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya tiga individu cedera selepas sekumpulan lebih 100 lelaki berkumpul dan melakukan provokasi di depan Plaza Low Yat, Bukit Bintang malam tadi.

Provokasi yang mencetus kekecohan itu bermula berhampiran sebuah hotel apabila kumpulan berkenaan mula menyerang seorang daripada mangsa menggunakan topi keledar dan beberapa objek lain. 

Beberapa orang anggota polis yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa dan terpaksa mengeluarkan senjata untuk menghalang perusuh daripada menyerang mangsa, namun usaha tersebut dikatakan tidak berjaya.


Pada masa sama, sekumpulan 20 lelaki turut bertindak memasuki sebuah bangunan berhampiran dan melepaskan kemarahan dengan memecahkan sebuah pintu kaca premis tersebut.

Difahamkan bahawa pihak polis mengarahkan mereka yang berkumpul di depan plaza berkenaan supaya beredar pada jam 12.40 pagi. 

Sehingga awal pagi tadi, polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikatakan masih berada di lokasi bagi mengawal dan memantau keadaan semasa.

Semua laluan berhampiran Plaza Low Yat, termasuk Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang terpaksa dikosongkan serta-merta dan dikatakana akan dibuka semula sehingga keadaan dipastikan benar-benar selamat.


Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa turut mengesahkan bahawa keadaan di sekitar kawasan tersebut kembali terkawal dan polis mengarahkan pemantauan secara penuh di semua kawasan berhampiran Bukit Bintang. 

"Saya juga ingin menegaskan supaya semua pihak tidak terpengaruh dengan sebarang hasutan yang meminta orang ramai supaya turun ke sesuatu lokasi disebabkan masalah perkauman," katanya yang dipetik dari Berita Harian. - Kedahnews.com